Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Hasrat pasukan veteran 90 Phoenix untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Teamgrays menerusi penentuan penalti shootout pada Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 di Stadium Hoki Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini semalam.
Skuad tuan rumah yang diperkuatkan dua bekas pemain kebangsaan, Ismail Abu dan Mohamad Sabri Mohamad, bermula garang apabila mendahului 1-0 pada babak pertama.
Bagaimanapun, Teamgrays dari Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada penghujung perlawanan sekali gus memaksa penentuan pemenang dilakukan menerusi penalti shootout.
Teamgrays akhirnya muncul juara selepas menyempurnakan dua jaringan, manakala satu-satunya gol 90 Phoenix dalam penentuan itu disumbangkan Ismail.

Tempat ketiga bersama kategori veteran menjadi milik Dekah Central dan Rag Alumni UTEM A.
Dalam kategori Gold Pool Lelaki Bawah 18 Tahun, Star Ipoh muncul juara, diikuti D’Touch Phoenix sebagai naib juara, manakala Saga Wildcats Boys dan Semsas C berkongsi tempat ketiga.
Kategori Wanita pula menyaksikan Beta Stingers muncul juara, diikuti JBHC Lithium di tempat kedua, sementara Ipoh Bravo dan Semsas E berkongsi tempat ketiga.
Bagi kategori veteran, Ismail dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan, manakala Engku Abiyadh Ismail Che Wan Muhammad Fadli dan Ainul Azeerah Norazmi masing-masing menerima pengiktirafan sama bagi kategori lelaki dan wanita bawah 18 tahun.
Juara setiap kategori menerima wang tunai RM1,000, piala dan medal, manakala naib juara membawa pulang RM500 serta medal. Pasukan tempat ketiga pula menerima RM250.

Sebanyak 180 pasukan dari dalam dan luar Pahang menyertai kejohanan yang mempertandingkan tujuh kategori dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM13,600.
Setiausaha Persatuan Hoki Daerah Kuantan, Mohd Yazid Mohd Yunus, berkata kejohanan yang memasuki edisi kesembilan itu sepatutnya berlangsung bulan lalu, namun terpaksa ditunda berikutan faktor jerebu yang melanda negara sebelum ini.
Menurutnya, kejohanan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan berlangsung lancar dengan penyertaan bekas pemain kebangsaan serta pemain remaja kebangsaan dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) negeri.
“Kehadiran beberapa bekas pemain kebangsaan yang beraksi bersama pasukan veteran, selain pemain remaja kebangsaan dari SSM negeri, turut menambahkan kemeriahan pertandingan ini.
“Kejohanan kali ini juga antara usaha mempromosikan pelancongan sukan di daerah ini apabila pemain hadir bersama keluarga sambil menikmati kemudahan yang disediakan,” katanya.
Kejohanan anjuran Persatuan Hoki Daerah Kuantan itu mempertandingkan tujuh kategori lelaki dan wanita bawah 12, 15 serta 18 tahun, selain kategori veteran.
IMedikelTV






