Home Buletin Semasa KERAJAAN KELANTAN HARGAI PERANAN PEMPENGARUH, ANGKAT IMEJ NEGERI

KERAJAAN KELANTAN HARGAI PERANAN PEMPENGARUH, ANGKAT IMEJ NEGERI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Golongan pempengaruh media sosial dilihat sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri Kelantan dalam membantu memperkukuh usaha pembangunan negeri, khususnya menerusi penyebaran maklumat dan promosi keunikan negeri itu kepada masyarakat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kreativiti serta perkongsian kandungan oleh golongan berkenaan di platform digital membuka ruang kepada lebih ramai masyarakat mengenali keistimewaan Kelantan.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di laman sosial selepas menghadiri Majlis Himpunan ‘Influencer’ Peringkat Negeri Kelantan di The Laman, Ibis Hotel, di sini.

Menurutnya, pelbagai kandungan berkaitan makanan, lokasi pelancongan, seni, budaya dan keistimewaan masyarakat Kelantan yang dihasilkan pempengaruh turut membantu memperkenalkan negeri itu kepada khalayak lebih luas.

“Terdapat pempengaruh yang turut memanfaatkan platform digital untuk berkongsi ilmu, menyampaikan maklumat serta mendidik golongan kanak-kanak

“Tidak dinafikan, hasil kreativiti dan perkongsian mereka di media sosial telah membuka ruang untuk lebih ramai mengenali keunikan Kelantan, sama ada dari segi makanan, tempat-tempat menarik, seni, budaya mahupun keistimewaan masyarakatnya,” katanya.

Beliau menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai sesuatu yang memberi kesan besar dalam membantu masyarakat mendapatkan pengetahuan dan maklumat bermanfaat.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pempengaruh yang terus menghasilkan kandungan positif serta membantu mengangkat nama Kelantan.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pempengaruh yang terus mengangkat nama Kelantan. Teruskan berkarya, sebarkan perkara yang baik dan peliharalah nama serta imej negeri Kelantan.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah pada majlis berkenaan dan berharap pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti serta memberi manfaat kepada masyarakat.

“Tahniah dan syabas juga kepada semua penerima anugerah atas pengiktirafan yang diterima. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan kandungan yang berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Mohd Nassuruddin turut menghargai usaha pihak penganjur dan semua yang terbabit menjayakan perhimpunan berkenaan, selain berharap ia menjadi titik permulaan kepada gerakan pempengaruh Kelantan yang lebih tersusun dan berdaya saing.

Beliau turut mengingatkan golongan pempengaruh supaya terus berkarya, menyebarkan perkara baik serta menjaga nama dan imej negeri Kelantan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here