Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Empat warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat membawa enam warga asing dari Kota Bharu untuk dihantar ke Kuala Lumpur, dalam operasi polis di daerah ini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi kira-kira jam 3 petang, 4 Oktober lalu itu bermula selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mengesan tiga kenderaan mencurigakan dari Jalan Gua Musang-Kota Bharu menghala ke Jalan Gua Musang-Lojing.
Menurutnya, ketiga-tiga kenderaan terbabit cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan selepas dikejar.
“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah Toyota Vios menemukan enam warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia serta Myanmar yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
“Turut ditahan ialah dua lelaki dan dua perempuan warga tempatan berusia antara 19 hingga 36 tahun yang disyaki terlibat membawa warga asing berkenaan dari Kota Bharu untuk dihantar ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Katanya polis turut merampas tiga kenderaan iaitu Toyota Vios, Honda Jazz dan Mini Cooper, selain lima telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.45 gram turut ditemukan di dalam salah sebuah kenderaan berkenaan.
“Seorang suspek disiasat secara berasingan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes utama pula disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu lain yang terbabit termasuk rangkaian penyeludupan berkenaan.
Polis menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran.
IMedikel TV






