Home Buletin Semasa DUA BEKAS BANDUAN MENGAKU TIDAK BERSALAH PECAH MASUK KEDAI SERBANEKA

DUA BEKAS BANDUAN MENGAKU TIDAK BERSALAH PECAH MASUK KEDAI SERBANEKA

150
0


Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua bekas banduan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan pecah masuk premis untuk mencuri di kedai serbaneka, premis peralatan rumah dan 24 jam dari April hingga November lepas.

Dua tertuduh tersebut Mohamad Harris Mohd Angelan, 33 dan Ahmad Khairul Sabirin Mohd Ramli, 34, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkiifli Abllah.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan jenayah bersama telah pecah premis menjual peralatan rumah dengan niat untuk mencuri pada 9 April, 8 Ogos, 22 dan 25 September lepas antara jam 11 malam hingga jam 2.54 pagi di lokasi berasingan iaitu Bandar Baru Tunjong, Jalan Hamzah, Kota Jembal dan Bunut Payong di sini.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama di kedai serbaneka pada jam 4.51 pagi 10 November lalu serta di kedai 24 jam masing-masing pada jam 3 dan 6 pagi pada 4 serta 6 September lalu di Jalan Temenggong dan Tanjong Mas di sini.

Bagi pertuduhan berlainan, Ahmad Khairul Sabirin didakwa melakukan kesalahan pecah kedai dengan niat mencuri di kedai menjual peralatan rumah di Kota Jembal, di sini jam 9.40 pagi 22 September lepas.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Hajar Sahiras Zukefli.

Terdahulu Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius, kesalahan bersiri dan boleh memberi ancaman jika dilepaskan dengan jaminan, serta boleh melarikan diri, bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jamin, cadangan jaminan sebanyak RM15,000 setiap pertuduhan dengan syarat.

Bagaimanapun Hajar Sahiras memohon agar kedua-dua tertuduh diberi jaminan munasabah, berikutan anak guamnya iaitu Ahamd Khairul Sabirin hanya bekerja kampung dengan menyara tiga anak dan isteri serta ibu bapa sakit, manakala Mohamad Harris pula adalah bekas pekerja pelantar minyak yang menyara tiga anak dan isteri, juga ibu bapa uzur.

Zulkifli kemudian membenarkan jaminan RM12,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan mereka perlu hadir di balai polis berdekatan dan tidak dibenarkan menganggu mangsa serta menetapkan sebutan semula kes pada 24 Dis depan.

Di Mahkamah Majistret pula, kedua-kedua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cubaan pecah masuk ke premis menjual peralatan rumah cawangan Kadok dan Telipot, di sini pada kira-kira 4 pagi, 15 Ogos dan 8 Oktober lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad dan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh namun mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 24 Disember depan bagi sebutan semula kes ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun jika sabit kesalahan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here