PARIS: Novak Djokovic meneruskan usaha memburu gelaran Grand Slam ke-25 apabila menewaskan Valentin Royer pada pusingan kedua Terbuka Perancis awal pagi tadi, namun pilihan kedua wanita, Elena Rybakina tersingkir mengejut.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Djokovic yang dipaksa bangkit daripada ketinggalan set pada aksi pembukaan menentang Giovanni Mpetshi Perricard, sekali lagi diuji pemain tuan rumah Royer sebelum menang 6-3, 6-2, 6-7 (7/9), 6-3 selepas tiga jam 45 minit di gelanggang Philippe Chatrier.
Dia akan bertemu Joao Fonseca pada pusingan seterusnya selepas pemain remaja Brazil itu bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Dino Prizmic 3-6, 4-6, 6-3, 6-1, 6-2.
“Saya harap saya tidak lagi bertemu pemain Perancis untuk baki kejohanan ini,” kata pemain pilihan ketiga itu sambil tersenyum sinis.
Djokovic yang menyamai rekod 24 gelaran Grand Slam bersama Margaret Court sejak memenangi Terbuka Amerika Syarikat 2023, tidak akan bertemu pilihan utama Jannik Sinner kecuali di final.
Pemain Serbia itu menguasai dua set pertama sebelum Royer yang berada di ranking ke-74 dunia memberi tentangan lebih sengit dalam set ketiga hingga memaksa aksi tie-break sebelum memanjangkan perlawanan.
Djokovic yang dua kali gagal menutup permainan ketika memegang servis dalam set ketiga, tidak mengulangi kesilapan sama dalam set keempat untuk melangkah ke pusingan seterusnya pada percubaan mata perlawanan kelima.
Alexander Zverev yang mara sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam lima edisi berturut-turut Terbuka Perancis, mudah menewaskan Tomas Machac 6-4, 6-2, 6-2 pada aksi sebelah malam.
Pemain Jerman itu akan berdepan Quentin Halys bagi memburu impian gelaran Grand Slam pertama.
Sementara itu, juara Terbuka Australia, Rybakina tersingkir selepas mensia-siakan kelebihan satu set apabila tewas 3-6, 6-1, 7-6 (10/4) kepada Yuliia Starodubtseva dari Ukraine.
Ia merupakan penyingkiran paling awal Rybakina dalam mana-mana kejohanan sejak Terbuka Miami 2025 dan kekalahan awal pertama di kejohanan Grand Slam sejak Terbuka Australia 2024.
“Saya tidak menemui keseimbangan. Saya tidak menemui pukulan yang tepat dan terlalu banyak kesilapan,” kata pemain nombor dua dunia itu.
Starodubtseva akan menentang Wang Xiyu dari China bagi perebutan tempat ke pusingan 16 terakhir.
Dia turut menyamai pencapaian terbaiknya di Grand Slam selepas mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis tahun lalu sebagai pemain ‘lucky loser’.
“Jujur, sukar untuk digambarkan, saya terlalu gembira,” kata pemain ranking ke-55 dunia itu selepas menewaskan pemain dalam kelompok 10 terbaik buat kali pertama. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






