KUALA LUMPUR: Perenang muda kebangsaan, Muhammad Dhuha Zulfikry membara untuk memastikan dirinya tidak pulang dengan tangan kosong pada penampilan di Sukan SEA Thailand 2025.
Atlet berusia 16 tahun itu optimis dia memiliki peluang untuk memenangi pingat dalam acara kegemarannya 1,500 meter (m) gaya bebas.
Baru-baru ini Dhuha berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara itu dengan catatan 14 minit 59.80 saat (s) pada Piala Dunia Renang di Shanghai, China sekali gus memadam rekod lama berusia 35 tahun milik Jeffery Ong 15:27.05s.
Catatan itu meletakkan Dhuha sebagai antara pencabar utama bagi merangkul pingat emas di Thailand.
Pada edisi 2023 di Kemboja, perenang Vietnam Nguyen Huy Hoang memenangi emas buat kali keempat berturut-turut dengan catatan 15:11.24s.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas acara itu adalah menerusi Dieung Manggang pada edisi 1999 di Brunei.
“Sudah tentu sasaran utama saya selepas ini adalah Sukan SEA tahun depan di Thailand. Saya sasarkan untuk sekurang-kurangnya memenangi gangsa dalam acara 1,500m, bukan mudah untuk menang pingat di Sukan SEA tetapi saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.
Semalam, Dhuha menerima durian runtuh RM41,000 sebagai penerima terbanyak insentif kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak kontinjen Wilayah Persekutuan.
Dhuha menggegar Pusat Akuatik Pandalela Rinong, Kuching, pada Ogos lalu selepas mengutip enam pingat emas dan dua perak di temasya dwi-tahunan itu.
Dia yang diberi julukan ‘Michael Phelps Malaysia’ itu mencipta sensasi selepas meraih emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas, 1,500m gaya bebas, 4x100m gaya bebas berganti-ganti dan 400m gaya bebas.
Dalam pada itu, Dhuha, berkata dia turut mengintai peluang untuk memburu tiket bagi beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






