Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang warga Pakistan didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kerana menawarkan suapan sebanyak RM200 kepada seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, 21 Oktober lalu.
Tertuduh, Gul Siraj, 51, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Tertuduh bagaimanapun boleh dipenjara selama 21 hari jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa memberi suapan sebanyak RM200 kepada pegawai terbabit ketika pemeriksaan dilakukan di premisnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Tok Bok, Jalan Kuala Krai pada 9.30 pagi, 21 Okt lepas.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh telah menawarkan satu suapan wang berjumlah RM200 kepada seorang inspektor polis yang bertugas di Balai Polis Kuala Krai untuk tidak menahan seorang pekerjanya warganegara Pakistan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 agar tidak diambil tindakan undang-undang kerana menyalahgunakan permit kerja.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut di bawah seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, boleh dihukum penjara tidak sampai 10 tahun
hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai seperempat daripada tempoh penjara yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu (Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963) atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Ermi Yasmin Abd Momen, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohamad.
Sementara itu, Mohd Azrul Hasyimi memohon hukuman denda minimum berikutan kerjasama yang diberikan selain telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.
Tertuduh membayar denda berkenaan dan pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Nur Dalilah Md Daud.
IMedikel TV






