Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,346 kes pada Minggu Epidemiologi ke-44 (ME44) iaitu bagi tempoh 27 Oktober hingga 2 November, berbanding 1,521 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr, Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan, berkata jumlah kematian kes demam denggi turut mencatat penurunan kepada satu kematian berbanding dua kematian pada minggu sebelumnya.
“Kumulatif kes yang dilaporkan hingga ME44 ialah 111,250 kes dengan 102 kematian, berbanding 100,936 kes dan 78 kematian bagi tempoh sama pada 2023.
“Walaupun terdapat penurunan kes denggi ketika ini, masyarakat tidak boleh leka kerana Jabatan Meteorologi Malaysia ((MetMalaysia) mengatakan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula awal November ini hingga Mac depan dan akan mengakibatkan peningkatan hujan yang berpotensi meningkatkan kawasan takungan air bagi pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dr Muhammad Radzi berkata, sebanyak 27 lokaliti titik panas yang dilaporkan termasuk 14 di Selangor, empat masing-masing di Negeri Sembilan dan Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Perak, dan satu masing-masing di Sabah, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Masyarakat perlu melakukan langkah pencegahan dengan membersihkan kawasan sekitar dan pastikan tiada takungan air.
“Lakukan aktiviti cari dan musnah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu,” katanya.
IMedikel TV






