Home Buletin Semasa MINYAK PAKET HANYA UNTUK KEGUNAAN ISI RUMAH, DIHADKAN 2KG SAHAJA

MINYAK PAKET HANYA UNTUK KEGUNAAN ISI RUMAH, DIHADKAN 2KG SAHAJA

338
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Isu minyak paket yang tidak mencukupi di pasaran menimbulkan kegusaran dan keresahan bagi pengguna kerana menyangka ia berkaitan dengan isu penyeludupan minyak tersebut ke negara jiran, Thailand.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata namun isu penyeludupan yang digembar gemburkan itu bukan suatu hal yang serius sehingga kekurangan bekalan tersebut.

“Isu smuggling (penyeludupan) itu isu yang kecil sahaja bagi kami kerana minyak itu tidak banyak yang lepas ke sana sebenarnya.

“Cuma yang saya boleh maklum di sini, pertama adalah kita kena faham minyak masak paket tu untuk siapa sebenarnya, ia adalah untuk isi rumah. Maksudnya di kedai makan, di kedai goreng pisang tidak layak guna minyak ini. Memang tidak boleh. Sudah tertulis atas paket itu sendiri RM2.50 sepaket untuk 1kg untuk kegunaan isi rumah sahaja.

“Sebab itu kita kawal 2kg untuk setiap isi rumah. Itu pun kalau ikut logik tidak habis 1kg. Secara logiknya kalau di rumah nak masak tidak sampai 2kg. Kalau tiga atau empat kali masak tidak habis 1kg. Jadi kita hadkan 2kg setiap isi rumah untuk semua dapat”,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sesi Kunjung Hormat IMedikel TV ke Pejabat KPDN, di sini.

Tambahnya, untuk mengekang masalah tersebut, pihaknya melantik Pegawai Pemantau Harga (PPH) untuk memantau isu bekalan minyak masak itu.

“Tetapi apabila berlaku kepada peniaga-peniaga kecil kita faham, goreng pisang tepi jalan mungkin guna 5kg atau 10 kg sehari ada. Ini menyebabkan kekurangan stok untuk sesetengah isi rumah.

“Tetapi setakat ini kita ada Pegawai Pemantau Harga, pegawai kita akan turun ke satu negeri setiap hari untuk pantau di pasar raya.

“Cuma agak sukar untuk mengawal peniaga kecil seperti yang jual goreng pisang ini, sebab pada dasarnya mereka pengguna juga. Yang itu pun kita pertimbangkan juga, cuma kerajaan memberi prihatin juga berkenaan isu ini,”katanya.

Menurutnya, pegawai tersebut akan melaporkan kepadanya berkenaan isu itu.

“Ada pasar raya yang ada. Mereka akan melaporkan kepada saya, dalam 70 peratus kedai ada bekalan. Katakan terdapat 10 pasar raya, 7 pasar raya ada bekalan, 3 sahaja yang tiada bekalan.

“Penduduk akan membeli di pasar raya yang membekalkan minyak tersebut tetapi dihadkan 2 paket setiap isi rumah,”katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat empat PPH di cawangan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.

Namun, Azman berkata jika kuota 60,000 metrik tan sudah penuh untuk setahun, maka sudah tiada lagi penambahan untuk kuota tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here