Home Luar Negara TRUMP TOLAK SYARAT IRAN

TRUMP TOLAK SYARAT IRAN

36
0

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad menyifatkan syarat Iran untuk menamatkan perang Asia Barat sebagai ‘langsung tidak boleh diterima’.

Kenyataan itu sekali gus meningkatkan kemungkinan konflik baharu selepas beberapa minggu rundingan berlangsung.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Iran sebelum itu membalas cadangan damai terbaharu Washington sambil memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri daripada membalas sebarang serangan baharu AS.

Iran turut memberi amaran tidak akan membenarkan lebih banyak kapal perang asing berada di Selat Hormuz.

“Saya baru sahaja membaca maklum balas daripada apa yang dipanggil ‘wakil’ Iran. Saya tidak menyukainya. LANGSUNG TIDAK BOLEH DITERIMA!,” kata Trump menerusi Truth Social.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menegaskan, perang belum berakhir selagi uranium diperkaya Iran tidak dikeluarkan dan kemudahan nuklearnya tidak dibongkar.

Bagaimanapun, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menerusi X berkata, pihaknya tidak akan tunduk kepada musuh dan sebarang perbincangan atau rundingan bukan bermaksud menyerah kalah atau berundur.

Menurut penyiar milik kerajaan Iran, IRIB, maklum balas Tehran terhadap pelan AS memberi tumpuan kepada penamatan perang ‘di semua medan, terutama Lubnan’.

Difahamkan, ia turut menyentuh mengenai ‘jaminan keselamatan perkapalan’.

Kebuntuan itu menggusarkan pasaran tenaga global dengan harga minyak mentah Brent melonjak 2.69 peratus kepada AS$104.01 (kira-kira RM295.09) setong bagi penghantaran Julai.

Dalam pada itu, The Wall Street Journal pula melaporkan, Iran turut mencadangkan sebahagian uranium diperkaya tinggi dicairkan, manakala selebihnya dipindahkan ke negara ketiga.

Sementara itu, Iran turut memberi amaran bahawa United Kingdom (UK) dan Perancis akan menerima ‘tindak balas tegas dan segera’ sekiranya mereka menghantar kapal ke Selat Hormuz.

“Sebarang serangan terhadap kapal kami akan mencetuskan tindak balas Iran yang kuat dan tegas terhadap kapal serta pangkalan AS,” kata Jurucakap Jawatankuasa Dasar Luar dan Keselamatan Nasional Parlimen Iran, Ebrahim Rezaei.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here