WATAK Dhamiah dalam drama 30 episod, Keluarga Itu di TV3 memberi cabaran besar buat pelakon remaja, Puteri Balqis, 18.
Puteri Balqis berkata, itu adalah drama pertama lakonannya yang memberi tekanan hingga rambutnya ditumbuhi uban.
“Ini drama pertama lakonan di mana bila saya selesai penggambaran rambut terus beruban sebab terlalu ‘stress’ (tekanan).
“Watak saya dalam drama ini dari awal hingga akhir semuanya berat. Jadi, kalau anda mahu cerita ini ‘happy ending’ (berakhir dengan gembira) lain kali saja.
“Saya banyak menangis sepanjang hampir tiga bulan penggambaran. Ia satu cabaran buat saya untuk menjayakan babak menangis hampir setiap hari itu,” katanya.
Mengenai gandingan dengan Amir Ahnaf yang melakonkan watak Aman, Puteri Balqis berkata, dia mudah mendapatkan keserasian dengannya.
“Amir antara pelakon yang bagus yang saya pernah bekerjasama. Kami dapat menjiwai watak dengan mudah bila digandingkan dalam drama ini,” katanya.
Puteri Balqis berkata, dia turut mengalami cedera ringan seperti tubuhnya lebam-lebam dalam tempoh tiga bulan penggambaran.
“Kalau lihat episod 3 iaitu babak Dhamiah berjumpa Aman (Amir Ahnaf) tubuh saya sudah lebam-lebam ketika itu.
“Ada babak saya tumbuk dinding sampai buku lima koyak sikit hingga pengarah dan kru pun menggelabah di lokasi.
“Apa yang mengejutkan, saya senang untuk keluar dari watak Dhamiah selepas selesai penggambaran mungkin sudah terlampau penat melakonkan watak itu dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd arahan Nur Ain Sharif itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Izara Aishah, Fattah Amin dan Muaz Zabir.
Mengulas dirinya banyak bekerjasama dalam produksi Erma Fatima, kata Puteri Balqis, pengarah dan penerbit terkenal itu yang percaya pada bakatnya.
“Saya banyak berlakon dalam produksi mama Erma dari dulu lagi dan tema ceritanya juga berat.
“Mama Erma juga pengarah yang pertama ambil saya jadi heroin dalam drama dan saya selesa bekerja dengannya sejak dulu,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






