LONDON: Chelsea bersedia untuk menandatangani Jadon Sancho secara kekal daripada Manchester United, walaupun terdapat klausa bernilai £5 juta (RM28.6 juta) yang membolehkan mereka membatalkan perjanjian itu, menurut laporan hari ini.
Sancho berpindah ke Chelsea secara pinjaman pada Ogos lalu dalam perjanjian yang dilaporkan merangkumi kewajipan untuk membeli pemain sayap itu dengan harga £25 juta (RM143.1 juta).
Namun selepas permulaan yang meyakinkan di Stamford Bridge, prestasi pemain berusia 24 tahun itu merosot.
Dengan hanya dua gol dalam semua pertandingan dan tiada jaringan sejak Disember lalu, Sancho bergelut untuk mendapatkan tempat dalam pasukan Enzo Maresca yang sedang memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan.
Bagaimanapun, perpindahan tetap Sancho dilaporkan masih akan diteruskan seperti yang dirancang.
Namun Chelsea berharap dia dapat mengembalikan prestasi cemerlang yang membantu Borussia Dortmund mara ke final Liga Juara-Juara semasa tempoh pinjamannya musim lalu.
Maresca berulang kali menyatakan bahawa beliau gembira dengan persembahan Sancho, sambil menegaskan terkejut dengan peningkatan pemain itu selepas keluar dari Old Trafford.
Sancho sebelum ini terbabit dalam perselisihan terbuka dengan bekas pengurus United, Erik ten Hag, dan tidak lagi diberi peluang beraksi sebelum dipinjamkan ke Dortmund. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






