JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal kembali mendapat sentuhan penyerang prolifik, Bergson da Silva bagi menguatkan jentera serangan bagi pertembungan menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Memetik laporan menerusi Berita Harian, Bergson yang mengalami kecederaan kembali menjalani latihan dan dijangka akan diturunkan menentang skuad kendalian Christophe Gamel yang dianggap pertembungan dua pasukan yang berada di kelompok teratas liga ketika ini.
Pengendali JDT, Xisco Munoz tetap menganggap pertembungan menentang skuad The Red Giants tampak berliku kerana pasukan itu sudah mula menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam saingan liga.
“Seperti yang saya katakan aksi pada bulan ini dan Februari begitu mencabar buat JDT dan kami harus memperhebatkan kualiti latihan bagi menghadapi aksi yang dianggap sukar malah kami tidak mahu berada dalam keadaan selesa selepas menang 12 perlawanan dan masih kekal dengan rekod tanpa kalah.
“Bergson sudah kembali menjalani latihan dan ia memberi petanda positif buat JDT malah kelibat Jairo (da Silva) juga tidak boleh dinafikan apabila pemain itu sudah meledak 12 gol dan akan terus membantu JDT bagi memburu kemenangan.
“Kami mahu memulakan pusingan kedua saingan liga dengan langkah kanan, oleh itu setiap pemain perlu mengekalkan momentum permainan dan intensiti yang lebih jitu selain memastikan corak permainan dan transisi gerakan dilakukan dengan tersusun,” katanya.
Selepas menamatkan pusingan pertama liga apabila mengharungi 12 perlawanan, anak buah Munoz kekal di tangga teratas dengan mengumpul 36 mata manakala Selangor FC tampak berusaha untuk mengejar tatkala berada di tangga ketiga dengan mengumpul 25 mata. – BH Online –
IMedikel TV






