Home Buletin Semasa ANWAR ARAH TITI GANTUNG RUNTUH DI LATA REK DIGANTI SEGERA

ANWAR ARAH TITI GANTUNG RUNTUH DI LATA REK DIGANTI SEGERA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Lata Rek sehingga menyebabkan lebih 50 tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, pada Khamis.

Beliau memandang serius runtuhan itu kerana ia menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerja-kerja penggantian titi itu akan dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM dengan kerjasama agensi berkaitan.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata Kerajaan Kelantan turut merakamkan penghargaan atas arahan segera Perdana Menteri untuk menggantikan titi gantung itu demi keselamatan dan kemudahan rakyat.

”Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai dan Ahli Parlimen Kuala Krai sudah mengambil langkah segera dengan turun padang serta menggerakkan tindakan awal.

”Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai turut diarahkan untuk menyelaras segala urusan berkaitan dengan ICU JPM serta agensi berkaitan bagi memastikan kerja-kerja penggantian jambatan dapat disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.

”Kerajaan komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan demi menjamin kebajikan rakyat serta memastikan kemudahan awam yang selamat dan berfungsi dapat disediakan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada masa sama, Mohd Nassuruddin turut menzahirkan rasa simpati dan prihatin terhadap semua mangsa terbabit dan mendoakan kesembuhan bagi mereka.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 50 tetamu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek kira-kira jam 2 petang, ketika menghadiri majlis perkahwinan apabila sebuah titi gantung runtuh secara tiba-tiba.

Insiden itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh di atas batu, manakala kanak-kanak cedera di bahagian kepala selain tiga lagi mengalami luka ringan dan sesak nafas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here