KUALA LUMPUR: Pelakon, Ben Amir yang memilih untuk menetap di Pulau Siargao, Filipina menafikan kekasih sebagai punca dia membuat keputusan menetap di sana.
Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin, 35, berkata, dia sendiri memilih tinggal di pulau itu untuk membina kehidupan yang lebih cemerlang.
“Sebenarnya saya dah lama rancang nak tinggal di pulau. Bukan sebab seseorang atau apa, tapi lebih kepada bina pencapaian saya. Sebagai lelaki memang kena sentiasa ‘upgrade’ dari segi karier atau dari segi mental.
“Jadi, saya rasa pergi ke sana itu salah satu ‘upgrade’ yang susah. Tapi disebabkan susah itulah, yang saya buat. Sebab kat sana saya nak buka restoran, nak buka villa jadi saya rasa benda ini bukan senang kalau nak buat.
“Saya pun tak pernah nak buat benda ini. Jadi nak buat benda ini di negara orang, dekat pulau pula, jadi satu cabaran yang saya suka cabar diri untuk ‘create’ satu karier baru,” katanya ditemui pada Malam Gala & Tayangan Perdana Filem Gantung: Musketeer Code di GSC Mid Valley di sini, malam tadi.
Ben berkata, dia mahu bertukar karier sebagai ahli perniagaan dan projek restoran serta villa dijangka siap pada awal tahun depan.
“Kami dah mulakan, insya-Allah akan siap awal tahun depan. Saya bahagia, tenang hidup di sana,” katanya.
Pada masa sama, Ben mengakui sedang berkawan dengan wanita dari Filipina. Malah dia turut membawa kekasihnya pada acara malam tadi.
“Kalau boleh saya tak nak cerita yang peribadi sangat. Saya masih dalam fasa berkenalan. Kalau nak dikatakan peneman saya pun, kami masih dalam fasa kenal hati budi. Kami kenal dalam tempoh dua tahun.
“Saya tak suka orang buat spekulasi. Kalau nak tahu apa-apa benda kena terus kepada saya daripada dengar cakap orang,” katanya.
Sementara itu, menerusi filem Gantung: Musketeer Code terbitan Neddo Works, Ben melakonkan watak Gibbs yang berkawan dengan Ray, Troll dan KJ yang melalui tahun akhir di salah sebuah sekolah elit.
Filem arahan Nadia Khan ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun ini. – HMetro Online –
IMedikel TV






