Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Taktik licik segelintir peniaga ayam yang didakwa menggunakan alat timbang tidak sah untuk mengaut keuntungan lebih akhirnya terbongkar dalam Operasi Penyamaran Ops Sabur yang dijalankan di sekitar Jalan Mulong-Ketereh, di sini, pada Rabu.
Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, operasi diketuai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan dengan kerjasama Majlis Daerah Ketereh – Perbandaran Islam (MDK-PI) itu dijalankan susulan aduan orang awam yang curiga terhadap ketelusan urusan jual beli di kawasan tersebut.
“Hasil risikan dan pemeriksaan mendapati walaupun tanda harga dipamerkan, dua gerai menjual ayam menggunakan alat timbang yang belum ditentusahkan seperti yang diwajibkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS 1972).
“Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap peniaga tersebut. Penggunaan alat timbang yang tidak sah menjejaskan hak pengguna dan boleh mengelirukan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam operasi sama, MDK-PI turut mengambil tindakan terhadap empat gerai lain yang didapati berniaga tanpa lesen yang sah, satu lagi kesalahan yang boleh menjejaskan kawalan dan pemantauan pihak berkuasa tempatan terhadap perniagaan setempat.
KPDN Kelantan memberi jaminan akan terus komited menjalankan pemantauan dan operasi berterusan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan, sekaligus melindungi hak pengguna daripada menjadi mangsa penipuan.
IMedikel TV






