Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 5 tahun dikenal pasti sebagai golongan paling berisiko mengalami komplikasi serius akibat demam panas, termasuk sawan tarik (febrile seizure) dan dehidrasi teruk.
Dalam perkongsian Public Health Malaysia di media sosial, demam adalah tindak balas normal badan terhadap jangkitan, namun suhu badan yang terlalu tinggi boleh mendatangkan kesan buruk kepada anak kecil jika tidak ditangani dengan segera dan betul.
Apa Yang Ibu Bapa Perlu Lakukan?
Beberapa langkah penting yang perlu diambil ibu bapa apabila anak mula menunjukkan simptom demam:
– Periksa suhu badan secara berkala – Jika suhu melebihi 38.5°C, segera berikan ubat demam mengikut dos yang tepat.
– Pastikan anak kekal terhidrasi – Galakkan pengambilan air kosong, susu atau cecair lain bagi mencegah dehidrasi.
– Lap badan dengan tuala basah – Kaedah fizikal ini membantu menurunkan suhu badan dengan lebih cepat.
– Pantau tingkah laku anak – Jika anak kelihatan lesu, meracau, kejang atau kurang respons, segera bawa ke fasiliti kesihatan.

Bila Perlu Bawa Anak Ke Hospital?
– Suhu melebihi 39°C dan tidak turun walaupun selepas diberi ubat.
– Anak mengalami sawan, sukar bernafas atau tidak memberi tindak balas
– Menangis berterusan, terlalu lemah atau kelihatan sangat tidak sihat
– Langsung tidak mahu makan atau minum
Public Health Malaysia turut mengingatkan bahawa demam bukan musuh, sebaliknya petanda bahawa sistem imun tubuh sedang berfungsi untuk melawan jangkitan. Namun apabila suhu terlalu tinggi, ia boleh mencederakan tubuh dari dalam terutama pada otak dan sistem saraf anak kecil.
Ibu bapa disaran tidak panik, tetapi peka dan bersedia dengan pengetahuan asas pengurusan demam supaya tindakan awal dapat menyelamatkan nyawa dan mencegah komplikasi jangka panjang.
IMedikel TV






