KUALA LUMPUR: Rundingan bagi meneroka kerjasama antara PAS dan UMNO yang sedang digerakkan menerusi sebuah jawatankuasa dalaman membabitkan pemimpin daripada kedua-dua parti ketika ini belum menghasilkan sebarang keputusan bersama.
Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan dakwaan PAS ditawarkan kerusi dan lantikan ke jawatan tertentu oleh UMNO sebagai antara persefahaman dicapai, terutama dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan serta Melaka, hanyalah khabar angin.
“Setakat ini tiada sebarang keputusan dalam (rundingan) kerjasama (yang sedang berjalan), bahkan ia (dakwaan ditawarkan kerusi dan lantikan jawatan tertentu) hanya khabar angin,” katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, PAS tetap akan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan pada kali ini.
“Kita sudah lancar jentera PRN dan kini kita beri fokus bagi memenangi kerusi yang dipertandingkan,” katanya.
Beliau diminta mengulas sama ada UMNO menawarkan sejumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kepada PAS di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, sebagai persefahaman bagi mengelak kedua-dua parti bertembung dalam PRN serta Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Cubaan BH mendapatkan kepastian pemimpin BN semalam, bagi mengulas mengenai tawaran-tawaran yang diberikan kepada PAS itu masih belum berjawab.
Zahid sahkan soal kerjasama
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini mengesahkan pertemuan antara pemimpin PAS dan UMNO yang berlangsung beberapa hari lalu, hanya membincangkan soal kolaborasi yang boleh dilakukan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Pertemuan itu menurut Timbalan Perdana Menteri tidak membabitkan presiden parti dan hal berkaitan cadangan menghidupkan Muafakat Nasional 2.0 juga tidak dibincangkan.
Kelmarin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga memaklumkan sebarang keputusan muktamad mengenai strategi pilihan raya, status pembahagian kerusi dan penggunaan logo dalam PRN Johor hanya akan diputuskan selepas taklimat khas pimpinan PAS Johor Isnin ini.
Bagi PRN Johor, PN negeri itu sebelum ini sudah memutuskan akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan kemungkinan membentuk pakatan pilihan raya, membabitkan penyertaan MUDA dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).-BH Online-
IMedikel TV






