Home Buletin Semasa MPKB-BRI TELITI PENEMPATAN BAHARU MANGSA KEBAKARAN GOK KAPOR

MPKB-BRI TELITI PENEMPATAN BAHARU MANGSA KEBAKARAN GOK KAPOR

19
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sedang mengenal pasti tapak yang sesuai bagi menempatkan mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapor yang memusnahkan 27 buah rumah dalam kejadian Isnin lalu.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zulkifle Ab Rahman berkata, cadangan penempatan semula itu bagaimanapun masih di peringkat perancangan dan memerlukan perbincangan lanjut serta persetujuan daripada Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang meneliti beberapa lokasi yang berpotensi sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai dan perkara ini perlu dibincangkan dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

“Kita juga memerlukan kebenaran kerajaan negeri selain peruntukan untuk membina rumah sekiranya cadangan penempatan semula itu dipersetujui,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kebakaran di Kampung Gok Kapor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas nasib mangsa yang kehilangan tempat tinggal selepas kebakaran memusnahkan 27 buah rumah yang didiami penduduk di kawasan berkenaan.

Zulkifle berkata, tanah yang terbabit dalam kebakaran itu adalah milik persendirian dan kebanyakan penduduk membina rumah sendiri di atas tanah yang disewa daripada pemilik tanah terbabit.

Menurutnya, sebahagian penduduk yang terjejas sudah menetap di kawasan tersebut sejak empat generasi lalu.

“Saya dimaklumkan ada keluarga yang sudah tinggal di sini sehingga empat generasi.

“Malah ada yang telah menyewa dan menetap di kawasan ini selama puluhan tahun,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini mangsa ditempatkan sementara di sebuah masjid berhampiran sementara usaha menyalurkan bantuan dan mencari penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.

Mengulas kemungkinan kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), beliau berkata perkara itu boleh dipertimbangkan namun perlu melalui proses penilaian bagi menentukan kelayakan mangsa menerima bantuan zakat.

“Jika membabitkan dana zakat, kita perlu membuat bancian terlebih dahulu untuk menentukan sama ada mereka yang terlibat layak atau tidak sebagai asnaf,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Zahri Samingon yang berada di Kelantan sempena Program Konvoi Muhibah sempena sambutan ke-20 MBPJ turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Beliau berkata, rombongan MBPJ yang berada di Kelantan selama tiga hari dua malam itu mengambil kesempatan menziarahi dan menyantuni mangsa selepas dimaklumkan mengenai tragedi tersebut.

“Kami datang ke Kota Bharu untuk program Konvoi Muhibah dan apabila mendapat tahu mengenai bencana ini, kami mengambil peluang untuk menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) lain dapat tampil membantu mangsa yang berdepan musibah sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap komuniti yang terkesan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here