Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu sudah cukup memberi isyarat kepada Mohamad Faiz Mohd Yusoff bahawa rumahnya berkemungkinan kembali dilanda banjir.
Berbekalkan pengalaman tahun lalu, lelaki berusia 30 tahun dari Kampung Tempoyak, Surau Bator, Jelawat itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan membeli sebuah bot fiber tanpa enjin berharga RM900 sebagai persediaan awal.

Menurutnya, bot itu menjadi penyelamat setiap kali air naik kerana halaman rumah turut ditenggelami hingga paras pinggang, meskipun kedudukan rumahnya lebih tinggi berbanding kawasan sekitar.
“Kami memang bergantung sepenuhnya pada bot fiber ini untuk keluar masuk.
“Kalau tidak ada bot, memang susah nak bergerak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambahnya, bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air, dia lazimnya meronda kampung bersama isterinya, Nor Efadila Zulkifli, 28, dan anak mereka, Mohd Harraz Danial, 4, selain turut ditemani rakan yang tinggal berdekatan.

“Saya menggunakan batang paip saja untuk menggerakkan bot ini, ada juga rakan yang guna kayu pendayung,” katanya.
Menurutnya, perjalanan pergi dan balik memakan masa kira-kira 30 minit, dan lebih panjang ketika pulang kerana terpaksa melawan arus sungai.
IMedikel TV






