Home Luar Negara BAYAR RASUAH RM23,000 UNTUK BAWA MASUK BANTUAN KE GAZA

BAYAR RASUAH RM23,000 UNTUK BAWA MASUK BANTUAN KE GAZA

135
0

BAITULMAQDIS: Pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa mendedahkan terpaksa membayar AS$5,000 (RM23,587.50) bagi sebuah trak kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Perkhidmatan Perisikan Am (GIS) Mesir untuk membawa masuk bantuan ke Gaza, Palestin.

Badan amal itu, yang enggan mendedahkan identiti memberitahu Middle East Eye, mereka bengang kerana terpaksa membayar rasuah kepada ejen berkaitan kerajaan Mesir semata-mata untuk mendapatkan bantuan bagi rakyat Gaza.

“Kami sudah bekerja di seluruh dunia pada masa perang, gempa bumi dan bencana lain, tetapi belum pernah lagi diperlakukan macam ini oleh negara yang mengaut keuntungan daripada penghantaran barangan kemanusiaan.

“Ia menghabiskan banyak sumber (kewangan) kami, malah rasuah yang perlu dibayar adalah setiap trak,” kata jurucakap badan amal itu.

Menurutnya, wang itu dibayar dalam bentuk yuran pengurusan kepada sebuah syarikat yang bergabung dengan Sons of Sinai, sebuah firma pembinaan dan kontrak yang dimiliki ahli perniagaan Sinai, Ibrahim al-Organi dan sebahagian daripada kumpulan syarikat itu.

Beliau mengetuai suku Tarabin di padang pasir Sinai bersempadan dengan Israel dan memiliki sebuah syarikat yang juga usaha sama dengan dua syarikat dimiliki GIS.

Kumpulan Organi didakwa dalam laporan media sebagai penerima utama penjualan lumayan permit jalan pantas untuk rakyat Palestin yang ingin melarikan diri daripada perang Israel di Semenanjung Gaza.

Siasatan yang dijalankan Projek Pelaporan Jenayah dan Rasuah Terancang (OCCRP) dan laman web bebas Mesir, Saheeh Masr, mendapati pengantara menjual permit keluar berharga antara AS$4,500 (RM21,228.75) hingga AS$10,000 (RM47,175) untuk rakyat Palestin dan AS$650 (RM3,066.37) hingga AS$1,200 (RM5,661) untuk rakyat Mesir.

Apabila keadaan terdesak di Gaza semakin meningkat, harga untuk laluan keluar dari Semenanjung itu meningkat kepada AS$10,000 seorang, Al-Araby Al-Jadeed melaporkan baru-baru ini.

Harga untuk trafik komersial ke Gaza yang dikenakan syarikat milik Organi ialah AS$9,000 (RM42,457.50) sebuah trak, walaupun kos tambang yang dikenakan pemandu lori biasanya hanya AS$300 (RM1,415.25) satu muatan.

Dalam pada itu, jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang memberikan sokongan penting di Gaza, memberitahu Middle East Eye, pihaknya tidak membayar yuran untuk memindahkan bantuan ke wilayah itu dari Mesir.

Awal bulan ini, Menteri Angkatan Tentera British, James Heappey berkata, lebih 150 tan bantuan kemanusiaan yang dihantar Pejabat Komanwel dan Pembangunan Luar (FCDO) ke Mesir sedang menunggu untuk dipindahkan ke Gaza.

Dalam pada itu, usaha mendapatkan maklum balas daripada GIS Mesir dan Kumpulan Organi serta Sons of Sinai tidak berjaya. – AGENSI, HMetro Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here