Home Luar Negara BANJIR BESAR DI NIGERIA RAGUT 700 NYAWA SETAKAT INI

BANJIR BESAR DI NIGERIA RAGUT 700 NYAWA SETAKAT INI

341
0

MOKWA: Lebih 700 mangsa dipercayai maut selepas banjir besar melanda bandar Mokwa, di Negeri Niger, Nigeria, pada Khamis lalu.

Menurut pihak berkuasa, jumlah kematian rasmi meningkat kepada lebih 200 orang, sementara 500 lagi masih hilang dan dikhuatiri maut.

Pegawai tempatan Musa Kimboku memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dihentikan kerana pihak berkuasa tidak lagi percaya ada mangsa yang boleh ditemui hidup.

Banjir kali ini, yang dianggap terburuk dalam tempoh 60 tahun, melanda daerah Tiffin Maza dan Anguwan Hausawa selepas hujan lebat berterusan.

Penduduk tempatan melaporkan bahawa rumah dan ahli keluarga mereka dihanyutkan oleh arus deras.

Ketua daerah Mokwa, Muhammadu Aliyu, menyatakan bahawa pihak berkuasa akan mula menggali mayat yang tertimbus di bawah tanah bagi mengelakkan wabak penyakit.

“Sebahagian mayat dihanyutkan ke Sungai Niger, sementara yang lain tertimbus dalam lumpur. Kami akan mula menggali mereka keluar,” katanya.

Pada Ahad, Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional (NEMA) mengumumkan bahawa mereka telah mula mengagihkan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Selain itu, jalan raya dan jambatan yang rosak akibat banjir turut memberi kesan kepada ekonomi tempatan dan lalu lintas. Penduduk Mokwa masih terkejut dengan kemusnahan yang berlaku.

Banjir bukan sesuatu yang asing di Nigeria, terutama semasa musim hujan dari April hingga Oktober.

Pada 2024, negara itu mengalami banjir besar akibat hujan lebat, menyebabkan kematian dan pemindahan penduduk.

Pada 2022, lebih 600 orang maut dan 1.3 juta penduduk terpaksa berpindah akibat banjir yang melanda.

Pihak berkuasa kini memberi amaran bahawa lebih banyak hujan lebat dijangka dalam beberapa minggu akan datang, dan penduduk dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here