Home Buletin Semasa MALAYSIA PERKASA USAHA PERLINDUNGAN KANAK-KANAK DALAM TALIAN DI FORUM UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA TASHKENT

MALAYSIA PERKASA USAHA PERLINDUNGAN KANAK-KANAK DALAM TALIAN DI FORUM UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA TASHKENT

466
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TASHKENT: Kerajaan terus memperkukuh peranan di peringkat antarabangsa dalam isu perlindungan kanak-kanak dalam mendepani cabaran undang-undang global menerusi penyertaan dalam Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025 yang berlangsung di Republik Uzbekistan baru-baru ini.

Mewakili negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menyampaikan ucaptama bertajuk “Creating a Safer Digital Future: Malaysia’s Legislative Approach to Online Child Protection” pada hari pertama forum tersebut.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa walaupun teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) membawa manfaat besar kepada manusia, namun ia mencetuskan risiko baharu terhadap keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Justeru, beliau menyeru masyarakat undang-undang antarabangsa agar berganding bahu memastikan jenayah terhadap kanak-kanak tidak dibiarkan tanpa tindakan undang-undang.

“Masa depan digital mestilah bukan sahaja lebih pintar, tetapi juga lebih selamat, berperikemanusiaan dan adil kepada semua lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azalina turut memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI sedang meneliti semula beberapa peruntukan undang-undang bagi memperkenalkan kewajipan lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga.

Katanya langkah itu termasuk cadangan untuk mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian serta penglibatan dalam program kesedaran keselamatan digital, sebagai usaha menyeluruh mencegah penderaan dan pengantunan kanak-kanak.

Dalam majlis yang sama, satu Memorandum Persefahaman (MoU) baharu selama 3 tahun ditandatangani bersama Menteri Keadilan Republik Uzbekistan, Akbar Tashkulov.

Beliau turut mengadakan perbincangan strategik dengan Menteri Keadilan dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Kabinet Negara Qatar, Ibrahim bin Ali bin Issa Al Hassan Al Mohannadi.

“Pertemuan ini membuka ruang kerjasama dalam reformasi undang-undang serta perlindungan hak asasi manusia,”katanya.

Menurutnya beliau juga menerima kunjungan hormat daripada Ketua Bahagian dan Kaunselor Kanan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Dr. Tatyana Teplova, bagi kerjasama startegik antara Malaysia dan organisasi itu dalam bidang tadbir urus digital.

Azalina menyifatkan penyertaan Malaysia dalam forum ini sebagai bukti iltizam Kerajaan MADANI untuk terus memainkan peranan aktif dalam pembentukan dasar undang-undang global yang progresif dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

“Hubungan dua hala seperti ini bukan sahaja memperkukuh diplomasi undang-undang, tetapi juga memperluas horizon reformasi institusi negara di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here