Ikon perfileman India, Kamal Haasan tampil penuh semangat buat peminatnya di Malaysia ketika sesi bersama media filem terbaharunya, Thug Life arahan sutradara, Mani Ratnam.
Memetik laporan Harian Metro, kerjasama semulanya dengan Mani selepas hampir empat dekad, turut dianggap satu perjalanan yang mengukuhkan lagi persahabatan dua figura besar berkenaan.
“Saya ingin sampaikan salam dan terima kasih tidak terhingga kepada peminat saya di Malaysia. Filem Thug Life ini dibuat dengan anda dalam fikiran.
“Kami sudah bekerja keras dan sekarang, ‘anak’ kami berada di tangan anda. Orang kata persahabatan pudar bila jadi keluarga, tapi kami buktikan sebaliknya.
“Saya bukan pelakon sama dan Mani juga bukan pengarah sama. Dia (Mani) terus berkembang dan anda akan nampak peningkatan itu dalam filem ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pelajaran paling berharga dari Thug Life, pelakon veteran ini berkata, setiap filem dibintangi itu adalah ruang pembelajaran untuknya.
“Setiap pengalaman itu baik. Saya belajar daripada kesilapan dan pastikan tak ulanginya. Sebab itu yang penting,” katanya.
Kamal juga menyentuh soal penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia perfileman yang semakin ke hadapan.
“Saya bukan pencipta teknologi, tetapi saya cuma pengguna. Bagaimanapun, Mani sebagai sentiasa bawa pendekatan segar.
“Kita semua mahu naik taraf seperti orang tukar telefon setiap tahun. Penonton tuntut inovasi dan kami mahu beri pengalaman baharu itu.
“Orang tak sedar pun mereka guna AI. Cari maklumat dalam telefon pun guna AI. Teknologi sentiasa berubah dan AI hanya satu lagi langkah ke depan. Ia banyak bantu industri hiburan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai filem lamanya yang belum direalisasi seperti Marmayogi dan Maruthanayagam, Kamal tidak menolak kemungkinan melihat projek itu untuk diteruskan.
“Kalau keadaan mengizinkan dan dengan restu anda semua, saya harap ia akan jadi kenyataan,” katanya.
Menyentuh soal realiti dalam Thug Life, Kamal menafikan ia berdasarkan kisah sebenar, tetapi tidak menolak elemen ‘realisme’ sebagai nadi filem itu.
“Kalau terlalu dekat dengan kebenaran, itu dokumentari. Jadi, dokumentari ada pasaran besar di Amerika Syarikat, tapi di sini masih perlahan.
“Jadi, judul ini (Thug Life) dipilih kerana kami yakin ia boleh hubungkan semua penonton, terutama generasi Z,” katanya.
Ditanya juga mengenai pemilihan Silambarasan untuk salah satu watak utama, ia berdasarkan keserasian jadual dan kesesuaian naskhah.
“Namanya (Silambarasan) terlintas di fikiran kami bertiga. Bila skrip ini datang, kami tahu ia watak yang tepat untuknya,” katanya.
Mengenai Malaysia, Kamal tidak berasa asing dengan negara ini kerana dia pernah menjalani penggambaran filem di sini serta merakam lagu bersama Rajinikanth. – HMetro Online –
IMedikel TV






