KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara sinis menyatakan ‘penghargaan’ buat ARMADA BERSATU yang begitu prihatin apabila mempertikaikan tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercuti.
Memetik laporan Berita Harian, Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar, berkata pertikaian itu seperti pengiktirafan pembangkang terhadap impak positif Rafizi sepanjang dalam Kabinet.
“Kami faham kerisauan ARMADA, namun usahlah bimbang kerana dasar ekonomi jangka masa panjang yang jelas antaranya Dasar Ekonomi MADANI, Dasar Gaji Progresif, dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) sudah ada,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid, yang menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membatalkan kelulusan cuti Rafizi, berikutan ketidaktentuan ekonomi global.
Harris Idaham dilaporkan berkata, negara memerlukan semua anggota Kabinet khususnya yang berkaitan dengan ekonomi untuk berkhidmat dan mencari solusi terbaik dalam menghadapi keadaan ekonomi.
Pada masa sama, Haziq turut membidas tindakan ARMADA yang sibuk dengan urusan cuti menteri Kabinet kini sedangkan tiada siapa pula hairan atau bertanya jika menteri atau pemegang jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bercuti. – BH Online –
IMedikel TV






