KUALA LUMPUR: Selepas dua dekad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, kembali menggegarkan Stadium Tertutup Singapura menerusi konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza – The Next Wave Live In Singapore yang bakal berlangsung pada 26 Julai ini.
Memetik laporan Harian Metro, konsert ini juga adalah sebahagian daripada sambutan 30 tahun perjalanan Siti dalam industri muzik tanah air.
Siti ketika ditemui berkata, dia mengakui teruja untuk memikirkan konsep persembahannya di Singapura nanti.
“Alhamdulillah, saya pun dah bagi ‘teaser’ dan beritahu tarikh konsert di sana kepada peminat di media sosial.
“Saya juga sudah duduk dan berbincang dengan ‘team’ (pasukan) saya untuk konsep persembahan di Singapura.
“Saya pun ‘excited’ (teruja) memikirkan corak persembahan nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas pemilihan lagu pula, Siti berkata, dia akan mempersembahkan satu ‘gelombang baru’ dalam konsert di Singapura itu.
“Saya harap semua peminat di sana akan dapatkan tiket sebab ia satu gelombang baru dari segi muzik yang saya cuba tonjolkan.
“Tapi saya tetap kena sampaikan rangkaian lagu popular kerana mahu peminat untuk ‘sing along’ (menyanyi bersama) nanti,” katanya.
Siti berkata, dia akui sukar untuk membuat senarai lagu untuk konsert kerana memiliki banyak lagu dari album dihasilkan sebelum ini.
“Ada banyak juga lagu yang diminta peminat tapi lagu ‘hits’ memang kena sampaikan kerana kalau tidak ‘tak best’ la konsert itu nanti.
“Selain lagu popular mesti kena ada dan lagu yang jarang dinyanyikan pun kena pilih juga dalam konsert.
“Mungkin lagu yang jarang nyanyi itu, saya akan buat dalam bentuk segmen nanti,”katanya.
Kali terakhir Siti beraksi di pentas Stadium Tertutup Singapura ialah pada 2005.
Terdahulu, laman rasmi Instagram @sisticsingapore memuat naik hantaran, Siti akan kembali beraksi di pentas itu selepas kali terakhir pada 2005.
“Kini, selepas dua dekad, beliau kembali dengan penuh semangat dan aura baharu untuk memberikan persembahan yang pasti menggetarkan jiwa,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






