KUALA LUMPUR: Pertahanan tengah Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin menyimpan hasrat mahu memikat barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya sekali gus kembali tersenarai dalam pasukan Malaysia.
Memetik laporan Harian Metro, walaupun menyedari agak sukar untuk bersaing dengan beberapa nama lain namun pemain berusia 29 tahun itu berharap tempoh cemerlang bersama Sri Pahang dipandang barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk tersenarai kelak.
Adam berkata, kali terakhir Adam menyarung jersi skuad kebangsaan adalah pada 2019, ketika membantu Malaysia mencatat kemenangan 1-0 dalam aksi persahabatan menentang Tajikistan.
“Sasaran saya musim ini mudah iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak minit yang mungkin dan beraksi.
“Bercakap mengenai pasukan kebangsaan, terpulang kepada jurulatih untuk menentukan siapa yang sesuai dalam rancangan mereka.
“Sudah tentu saya mahu kembali bersama Harimau Malaya. Tapi buat masa sekarang, saya hanya akan terus fokus melakukan tugas saya,” katanya.
Mengikut rekod, Adam perlu bersaing sengit dengan beberapa nama seperti Dominic Tan, Harith Haiqal dan Shahrul Saad yang dilihat sebelum ini lebih mendominasi di bahagian pertahanan skuad Harimau Malaya.
Bekas tonggak Harimau Muda itu juga menunjukkan prestasi konsisten sepanjang musim ini, dengan 28 penampilan dalam semua kejohanan dan turut menyumbang tiga gol dalam saingan Liga Super. – HMetro Online –
IMedikel TV






