LONDON: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan pasukannya tidak merancang sebarang kemasukan atau keluar pemain pada jendela perpindahan Januari, walaupun mengejar tempat Liga Juara-Juara musim depan.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro,United, yang akan bertandang ke Leeds United, berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris dan berpeluang melonjak ke tempat keempat jika menang di Elland Road dan keputusan pasukan lain menyebelahi mereka.
“Kami tiada perbincangan mengenai sebarang perubahan dalam skuad. Ada proses dan idea yang akan diteruskan.
“Kami hampir dengan slot Liga Juara-Juara tetapi juga dekat dengan lapan pasukan di belakang, jadi fokus kepada perlawanan seterusnya,” kata Amorim.
Beliau turut memaklumkan tiada pemain United yang meminta untuk meninggalkan kelab, walaupun khabar angin mengatakan Roma berminat dengan penyerang Belanda, Joshua Zirkzee.
Skuad yang akan bertandang dijangka sama seperti ketika seri 1-1 menentang Wolverhampton minggu ini, dengan beberapa pemain akademi mungkin diberi peluang.
Amorim menjelaskan Leeds memiliki pemain pantas dan pasukannya perlu berhati-hati menghadapi tempo perlawanan yang tinggi. Antara pemain utama yang tidak dapat diturunkan termasuk Harry Maguire, Matthijs de Ligt, Kobbie Mainoo dan kapten Bruno Fernandes.
Selain itu, Noussair Mazraoui (Maghribi), Bryan Mbeumo (Cameroon) dan Amad Diallo sedang menjalani tugasan antarabangsa di Piala Negara Afrika. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






