Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menggalakkan rakyat Kelantan agar mengawal pengambilan makanan manis dengan menjaga kuantiti dan kekerapan untuk kesihatan yang lebih baik.
Pengarah JKNK, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob berkata, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), Kelantan mencatat penurunan pesakit Diabetes daripada 19.5 peratus pada 2019 kepada 16.3 peratus pada 2023.

Beliau berkata, kumpulan umur pesakit yang mengalami Diabetes paling tinggi adalah antara 60 hingga 75 tahun.
“Bagaimanapun, tahap kesedaran orang ramai juga sudah wujud, tetapi perlu dipertingkatkan lagi, meskipun Kelantan terkenal dengan makanan manis, seperti kuih jala mas dan taik itik, itu tidak bermakna tidak boleh makan langsung.
“Paling penting mereka perlu jaga kuantiti dan kekerapan pengambilan makanan manis itu, tidak boleh makan setiap hari, dan penting juga, untuk mengamalkan aktiviti berjalan kaki sejauh tujuh kilometer bersamaan 10,000 langkah, paling kurang tiga kilometer sepanjang tiga hari seminggu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Fun Walk Amal Generasiku Sayang (GSK) Kelantan bersama Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Pantai Sri Tujoh, di sini, hari ini.
Dr. Mohd Azman berkata, aktiviti berjalan kaki adalah secara tidak langsung boleh membakar gula dan lemak yang berlebihan dalam badan untuk kekal sihat.
Katanya, antara faktor yang menyumbang diabetes adalah pemakanan tidak sihat yang menyebabkan berat badan tidak ideal, kurang aktiviti fizikal dan merokok.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 1,100 peserta berjalan kaki sejauh 3.1 kilometer di sekitar Pantai Sri Tujoh dan Pantai Geting.

Katanya, program itu adalah anjuran Persatuan Generasiku Sayang Kelantan dan JKNK dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat.
”Program ini bertujuan memupuk semangat cara hidup sihat di kalangan rakyat negeri ini kerana kita tahu pada masa ini banyak penyakit kencing manis, darah tinggi, heartburn, kolesterolimia, penyakit jantung dan pelbagai lagi,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memperkasakan kempen ’War On Sugar’ bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat dengan cara mengambil makanan bergula mengikut sukatan yang dibenarkan.
IMedikel TV






