Home Sukan AMORIM DILABEL ‘PENGECUT’, LAYAK DIPECAT

AMORIM DILABEL ‘PENGECUT’, LAYAK DIPECAT

MANCHESTER: Ruben Amorim dilabel “pengecut” oleh penyokong Manchester United yang mahu pengendali itu dipecat selepas kekalahan memalukan kepada kelab Liga Dua, Grimsby Town, dalam saingan Piala Liga.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, United terpaksa bangkit daripada ketinggalan 2-0 hanya untuk memaksa penentuan penalti, sebelum akhirnya tersingkir selepas satu penentuan dramatik yang memakan masa 18 minit.

Skuad kendalian Amorim tampak longlai sepanjang perlawanan, dan walaupun Harry Maguire menyelamatkan maruah dengan jaringan lewat permainan, United tetap gagal mengelak daripada aib besar.

Namun, bukan sekadar aksi hambar di padang yang menimbulkan kemarahan penyokong, malah tindakan Amorim di tepi padang turut menjadi bahan kecaman.

Pengendali berusia 40 tahun itu dirakam kamera televisyen sedang bereksperimen dengan papan taktikal ketika United ketinggalan 2-0, sesuatu yang dilihat penyokong sebagai tidak meyakinkan.

Lebih mengundang kemarahan, ketika penentuan penalti yang penuh tekanan, Amorim dilihat “bersembunyi” di bangku simpanan, seolah-olah enggan menyaksikan sepakan demi sepakan dalam penentuan yang panjang itu.

Dengan hanya satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir semua kejohanan, rekod Amorim kini cuma sekitar 37 peratus kemenangan sepanjang mengendali United.

Tekanannya semakin meningkat menjelang aksi penting menentang pendatang baharu Liga Perdana Inggeris, Burnley, di Old Trafford hujung minggu ini.

Selepas perlawanan, Amorim mengakui pasukannya seakan-akan tidak bermain untuknya.

“Pada akhirnya, sama ada kita bangkit atau tidak, ia tidak penting. Yang penting ialah isyarat yang ditunjukkan oleh pasukan dalam permainan, khususnya di permulaan.

“Saya rasa pasukan terbaik menang, satu-satunya pasukan yang berada di atas padang. Pemain-pemain hebat juga boleh tewas kerana satu pasukan boleh mengatasi mana-mana kumpulan pemain.

“Saya fikir pasukan dan pemain saya sudah bersuara dengan cukup lantang hari ini. Jadi, itulah hakikatnya. Kami kalah, pasukan terbaik menang,” kata Amorim. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here