Home Luar Negara 2 KANAK-KANAK MAUT, 17 CEDERA DALAM KEJADIAN TEMBAK DI GEREJA

2 KANAK-KANAK MAUT, 17 CEDERA DALAM KEJADIAN TEMBAK DI GEREJA

MINNEAPOLIS: Seorang individu melepaskan tembakan pada Rabu terhadap kanak-kanak sekolah yang menghadiri satu upacara keagamaan di sebuah gereja di Minneapolis, mengorbankan dua murid dan mencederakan 17 orang dalam tragedi ganas terbaharu yang mengejutkan Amerika Syarikat.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Ketua Polis bandar itu, Brian O’Hara berkata, penyerang melepaskan tembakan bertubi-tubi melalui tingkap Gereja Annunciation ketika puluhan murid menghadiri Misa sempena minggu pertama persekolahan.

Gereja itu terletak bersebelahan dengan sebuah sekolah Katolik di Minneapolis, bandar terbesar di negeri Midwestern, Minnesota.

“Dua kanak-kanak, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun, terbunuh ketika mereka duduk di bangku gereja,” kata O’Hara, sambil menambah bahawa 14 murid lain dan tiga warga emas turut cedera terkena tembakan.

Penyerang melepaskan tembakan menggunakan raifal, senapang patah dan pistol sebelum membunuh diri di tempat letak kereta.

Polis berkata, kesemua senjata itu dibeli secara sah.

Seorang murid berusia 10 tahun berkata, dia terselamat kerana seorang rakannya melindunginya dengan tubuhnya.

“Saya hanya meniarap di bawah bangku, kemudian menutup kepala saya,” katanya kepada penyiar CBS.

“Rakan saya, Victor, menyelamatkan saya kerana dia baring menutupi saya, tetapi dia terkena tembakan.”

Insiden tembakan beramai-ramai itu adalah yang terbaharu dalam rentetan serangan berdarah di sekolah-sekolah Amerika Syarikat, di mana usaha untuk mengehadkan akses mudah kepada senjata api berdepan kebuntuan politik.

Pengarah FBI, Kash Patel berkata, agensi itu menyiasat kejadian itu sebagai “satu tindakan keganasan domestik dan jenayah kebencian yang menyasarkan penganut Katolik.”

Patel mengenal pasti penembak sebagai “Robin Westman, seorang lelaki yang lahir sebagai Robert Westman.”

Westman, kini berusia 23 tahun, secara sah menukar nama pada 2020 dan dikenal pasti sebagai wanita, menurut dokumen mahkamah.

Dalam hantaran di platform X, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem berkata penyerang itu “mendakwa dirinya transgender” dan menyifatkan serangan itu sebagai “tidak dapat difikirkan.”

Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, pula memberi amaran agar tidak menggunakan kejadian itu untuk menyerang komuniti transgender, sambil menyentuh isu pemilikan senjata api di Amerika.

“Sesiapa yang menggunakan ini… sebagai peluang untuk memfitnah komuniti trans kita, atau mana-mana komuniti lain, telah hilang rasa kemanusiaan,” kata Frey kepada pemberita.

“Kita mempunyai lebih banyak senjata di negara ini berbanding jumlah penduduk, dan kita semua harus mengakui hakikat bahawa kita tidak boleh sekadar berkata perkara ini tidak sepatutnya berlaku lagi tetapi terus membiarkan ia berlaku berulang kali.”

Media AS melaporkan Westman pernah menjadi pelajar di sekolah itu.

Video yang dimuat naik oleh penembak menunjukkan sebuah manifesto berbilang muka surat, senarai nama serta lakaran senjata api.

O’Hara berkata, “manifesto itu menunjukkan dia berada di lokasi kejadian dengan beberapa tulisan mengganggu, dan kandungan itu kini telah diturunkan.”

Saksi dan mangsa terselamat menggambarkan suasana cemas apabila penyerang berpakaian serba hitam dan bertopeng ski melepaskan tembakan, sementara kanak-kanak bersembunyi di bangku gereja.

Rakaman video di luar kawasan yang dipagar polis menunjukkan ibu bapa panik membawa anak-anak mereka yang berpakaian seragam sekolah berbaju polo hijau.

Serangan itu menerima kecaman serta ucapan takziah daripada ramai pihak termasuk Presiden Donald Trump, yang mengarahkan bendera di Rumah Putih dikibarkan separuh tiang.

Paus Leo XIV – rakyat Amerika pertama mengetuai Gereja Katolik – berkata beliau “amat berdukacita” dengan tragedi itu.

Gabenor Minnesota, Tim Walz, menyeru rakyat Amerika “melakukan yang terbaik untuk memahami apa yang boleh kita lakukan bagi mengelak mana-mana ibu bapa daripada menerima panggilan seperti hari ini.”

Tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya 287 insiden tembakan beramai-ramai – ditakrifkan sebagai kejadian melibatkan sekurang-kurangnya empat mangsa, mati atau cedera – telah berlaku di seluruh negara, menurut Arkib Keganasan Senjata (Gun Violence Archive).

Sekurang-kurangnya 16,700 orang terbunuh akibat keganasan bersenjata api di AS tahun lalu, tidak termasuk kes bunuh diri.

Antara insiden tembakan sekolah yang mengejutkan ialah pada 2022 apabila seorang remaja berusia 18 tahun menceroboh sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas dan melepaskan tembakan, membunuh 19 murid serta dua guru. – AFP, Hmetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here