Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
Bagi setiap perkahwinan, sudah tentu inginkan zuriat. Namun, bersediakah kita sebagai bakal ibu untuk menempuh alahan sepanjang hamil.
Alahan adalah perkara yang nyata dan bukan diada-adakan oleh wanita hamil.
Namun masih wujud pemikiran bahawa alahan atau “morning sickness” itu adalah lakonan semata-mata atau sengaja dibuat-buat.
Perasaan hendak muntah atau perasaan mahu tidur sepanjang hari bukan sekadar inginkan perhatian, malah boleh dianggap normal bagi wanita yang sedang hamil.
Wartawan Imedikel TV bertanyakan pendapat dan komen daripada orang ramai berhubung isu tersebut.
Nurul Syahira Abdul Wahid, 25, berpendapat dia tidak mengalami sebarang alahan teruk ketika mengandungkan anak pertamanya.

“Terdapat segelintir ibu mengandung yang mengalami alahan teruk sehingga tidak dapat melakukan apa-apa kerja dan ada juga daripada mereka yang tidak mengalami alahan seperti saya boleh bekerja dengan tenang, bagi saya tanggapan orang terhadap ibu mengandug yang mengada-ngada ni tidak bagus kerana tidak semua bersikap demikian, kalau yang mengada-ngada ada juga tapi sesetengah la mungkin pada wanita yang manja dan dengan kata mudah bergantung pada ibu mengandung itu sendiri,”katanya.
Adawieyah Zou, 24, seorang ibu yang sedang berpantang selepas melahirkan anak pertamanya berkata dia tiada selera makan ketika mengandungkan anak pertamanya.

“Kadang-kadang ibu mengandung tu dia bukan nak mengada-ngada sebaliknya atas individu tersebut sebab bila dia makan nasi dia akan rasa nak termuntah jadi dia teringin nak makan benda-benda lain yang kebarangkalian orang sekeliling tidak faham kenapa dia nak makan benda yang pelik-pelik, jadi bagi saya suami memang perlu memainkan peranan penting dalam melayan karenah ibu ini kerana kalau suami tak layan makanan yang isteri nak makan, isteri akan mudah terasa hati tapi dalam masa lain orang akan beranggapan ibu ini mengada-ngada dalam meminta sesuatu benda sedangkan mereka tidak faham apa yang para ibu mengandung alami.
“Kalau yang jenis tak boleh hidu bau masakan atau suami itu mungkin hidung individu itu sensitive dengan bau demikian dan ia juga boleh membawa kepada rasa nak muntah,”katanya ketika dihubungi Imedikel TV bagi mengulas isu tersebut.
Zuraiha Nordin, 26, dari Dungun, Terengganu, berkata segelintir masyarakat beranggapan alahan ini perkara biasa bagi ibu mengandung dan ada yang berpendapat mereka mengada-ngada dan sekadar alasan untuk bermalas-malasan.

“Apa yang boleh saya katakan pengalaman ketika mengandung adalah perkara yang paling tidak disukai para ibu. Ianya nyata dan bukan diada-adakan, ada yang alahan teruk sehingga tidak mampu bangun, mual, muntah sampai tiada khudrat dan ada juga sampai kena tahan wad.
“Tapi para ibu kuatkan juga diri demi kandungan namun walau tahu kuat macam mana pun kalau dah kena alahan memang susah nak baik jadi terpaksa hadap sehingga alahan itu hilang, oleh itu, para ibu sangat berharap orang sekekliling terutama suami dan keluarga faham dan tidak memandang remeh tentang apa yang dialaminya,”katanya.
Bagi mereka yang sedang mengalami alahan, tidak kisah alahan anak pertama, kedua, atau ketiga sekalipun, alahan hamil bukan perkara yang dibuat-buat.
Ada dalam kalangan ibu hamil mengalami alahan teruk sehingga terpaksa ditahan dalam wad dan dimasukkan air atau “drip” kerana kekurangan tenaga.
Jangan ambil mudah tentang masalah ini, lain orang lain caranya. Semoga ibu-ibu tetap tabah mengharunginya demi “seketul” si comel yang bakal dilahirkan kelak.
Itulah perjuangan dan pengorbanan seorang ibu yang tidak ternilai harganya.
Imedikel TV






