Home Buletin Semasa WANITA MAUT, LIMA CEDERA DALAM NAHAS ALPHARD-BEZZA DI KUALA KRAI

WANITA MAUT, LIMA CEDERA DALAM NAHAS ALPHARD-BEZZA DI KUALA KRAI

96
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Alphard dan Perodua Bezza berhampiran stesen minyak Caltex Laloh, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.18 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Safinaz Razmi, 52, yang menaiki Perodua Bezza.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan operasi di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah Toyota Alphard dan sebuah Perodua Bezza.

“Terdapat seorang wanita dewasa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM, manakala mangsa lain yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) menggunakan ambulans KKM dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS,)” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Toyota Alphard itu dinaiki enam penumpang termasuk dua kanak-kanak lelaki yang cedera, manakala Perodua Bezza membawa empat penumpang dengan seorang wanita maut dan tiga lagi cedera.

Katanya, anggota bomba turut bertindak mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi berkenaan membabitkan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dari BBP Kuala Krai.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here