Home Buletin Semasa LIMA CEDERA DALAM KEMALANGAN TIGA KENDERAAN BERHAMPIRAN KUARI DI GUA MUSANG

LIMA CEDERA DALAM KEMALANGAN TIGA KENDERAAN BERHAMPIRAN KUARI DI GUA MUSANG

213
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Lima individu cedera, termasuk seorang yang mengalami patah kaki, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Damai Kuari Sdn. Bhd. di sini, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 12.23 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari BBP Gua Musang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, setibanya pasukan bomba pada jam 12.44 tengah hari, didapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Ativa, Toyota Vios dan Perodua Alza.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima mangsa terbabit dalam kemalangan itu. Semua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya.

Menurut beliau, pemandu Perodua Ativa mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Vios mengalami patah kaki.

“Tiga lagi mangsa yang menaiki Perodua Alza turut mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.

Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja membantu mangsa serta membersihkan sisa kemalangan bagi memastikan keadaan jalan raya selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.56 petang.

Operasi membabitkan enam anggota BBP Gua Musang dengan bantuan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here