Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri menyambut baik pembangunan bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana dalam memperkukuh kapasiti dan akses penjagaan kesihatan di negeri Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata kewujudan kemudahan kesihatan yang moden, lengkap dan berdaya saing seperti Hospital Pakar KPJ Perdana akan menjadi pemangkin penting dalam menarik lebih ramai pelancong kesihatan dari luar negara, khususnya dari Indonesia dan negara-negara serantau.

”Selain meningkatkan imej Kelantan sebagai destinasi perkhidmatan kesihatan berkualiti, ia turut memberikan limpahan ekonomi kepada sektor pengangkutan, penginapan, makanan, peruncitan dan pelbagai industri sokongan yang lain.
”Pembangunan yang akan dijalankan ini juga, amat bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk memperkukuh agenda pelancongan kesihatan sebagai salah satu sektor pertumbuhan baharu negeri.
”Dalam siri promosi pelaburan dan pelancongan di Jakarta baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah mengetengahkan pelbagai potensi Kelantan termasuk sektor kesihatan, hospitaliti, pelancongan mesra keluarga serta kos rawatan yang kompetitif,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pembangunan Bangunan Baharu Hospital Pakar KPJ Perdana, di sini, hari ini.
Beliau berkata pembangunan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat dari sudut akses rawatan, malah turut menyokong pembangunan ekonomi negeri, mewujudkan tambahan peluang pekerjaan serta merancakkan pertumbuhan ekosistem kesihatan di Pantai Timur.
Jelasnya Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkukuh pembangunan sektor kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
”Saya percaya kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan seluruh pemain industri kesihatan akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya saing,”katanya.
Sementara itu Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata pembagunan baharu hospital berkenaan akan meningkatkan kapasiti katil daripada 150 kepada 300 buah apabila siap sepenuhnya.

”Sekiranya tiada halangan, pembinaan dijangka siap menjelang tahun 2030 dan hospital akan beroperasi dengan kemudahan tambahan baharu.
”Kita membabitkan pelaburan yang besar bagi menambah kapasiti katil kepada 300 buah,”katanya.
Selain itu, beliau berkata terdapat penambahan tiga bilik bedah baharu menjadikan keseluruhan enam bilik bedah yang akan ditempatkan di bangunan baharu.
“Kita kini sedang menunggu proses kelulusan dan dijangka pembangunan bermula tahun ini.
”Ini menunjukkan komitmen KPJ untuk terus membangunkan industri penjagaan kesihatan,”katanya.
IMedikel TV






