PASIR PUTEH -Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua ahli parti sama ada yang berjawatan atau tidak berjawatan perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’ ketika bercakap.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri turut memohon supaya semua ahli parti agar bercakap mengikut kapasiti masing-masing dan tidak bercakap berlebihan sehingga melangkaui kepimpinan tertinggi UMNO.
“Kalau kita timbalan cakap sekadar timbalan dan biar presiden yang buat tugas presiden.
“Sebagai contoh, ketua pemuda buat kerja ketua pemuda dan ketua puteri buat kerja ketua puteri barulah ada peranan masing-masing serta keserasian,” katanya.
Beliau berkata keserasian berkenaan berlaku apabila meletakkan diri di tempat yang Allah telah tentukan.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh, di sini, malam tadi.
“Saya amat yakin kalau kita memainkan peranan masing-masing dari peringkat akar umbi dari Dewan Undangan Negeri sehingga ke Parlimen, kita akan berjaya di persada negara.
“Seperti sedia maklum UMNO hampir terkubur dan Allah beri peluang kedua kepada kita untuk bangkit dan pertahankan UMNO sehingga memenangi PRU-16 yang akan datang,” katanya.