Home Sukan ADA BENDA TERBELENGGU DALAM DIRI ZII JIA – MISBUN

ADA BENDA TERBELENGGU DALAM DIRI ZII JIA – MISBUN

Kuala Lumpur: “Kalau dia tidak dahaga, kita tarik macam mana pun dia tidak mahu minum.”

Memetik laporan Harian Metro, Itu perumpamaan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek ketika ditanya kesediaannya untuk membantu Lee Zii Jia yang kini berdepan fasa sukar dalam kariernya.

Misbun yang pernah membimbing Zii Jia berkata, pemain kelahiran Alor Setar itu mempunyai ciri sebagai pemain menyerang, malah pernah berada di tahap terbaik apabila menjuarai Seluruh England (2021), tetapi mendakwa sesuatu menghalangnya daripada mengekalkan momentum berkenaan.

“Zii Jia seorang pemain menyerang, tetapi saya lihat dia masih belum mencapai tahap terbaiknya. Dia pernah berada di tahap itu, tetapi sekarang prestasinya sudah menurun dan usia juga mula memberi kesan

“Kalau nak beri nasihat memang boleh, tetapi dia sendiri nak atau tidak? Itu maksudnya.

“Macam kuda, kalau dia tidak dahaga, kita tarik macam mana pun dia tidak mahu minum. Tetapi kalau dia hendak, dia ada cara bagaimana dia nak buat sebab dia pernah sampai ke situ,” katanya ketika ditemui media di Kejohanan Badminton Media Allianz hari ini.

Misbun berkata, Zii Jia tidak boleh dianggap sebagai pemain yang tidak pernah mencapai kejayaan kerana dia sudah membuktikan kemampuan dengan muncul juara Seluruh England dan pernah berada pada tahap terbaik dunia.

Katanya, persoalan utama ketika ini adalah mengenal pasti perkara yang menyebabkan pemain berusia 28 tahun itu gagal mengekalkan tahap berkenaan.

“Dia pernah jadi juara Seluruh England, dia pernah jadi yang terbaik. Bukan dia tidak pernah.

“Tetapi apa yang menyebabkan dia tidak sampai? Itu jurulatih harus pandang di situ,” katanya.

Ditanya sama ada bersedia membantu sekiranya Zii Jia sendiri datang kepadanya, Misbun berkata, beliau boleh memberikan nasihat berdasarkan pengalamannya, namun buat masa ini tidak mahu pergi lebih jauh.

“Untuk sekarang ini saya boleh cakap sajalah. Saya boleh cakap sebab saya tengok dia budak baik. Saya tengok dia nak bermain.

“Kalau tidak, dia tidak akan keluar dan bermain sampai sekarang. Dia cuba, walaupun kejohanan kecil pun susah nak ambil.

“Pasal ada benda yang dia terbelenggu di dalam dirinya. Apa benda itu, siapa yang nak korek untuk dia?,” katanya.

Zii Jia masih bergelut untuk kembali ke tahap terbaik, termasuk kekalahan mengejut kepada pemain ranking ke-88 dunia, Wu Zhe Ying pada pusingan pertama Terbuka Vietnam minggu lalu.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here