Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) menyalurkan bantuan peralatan pemadaman kebakaran berupa pam angkut kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang bagi memperkukuh keupayaan pasukan menangani kebakaran hutan paya gambut di negeri ini.
Pegawai Teknikal Projek SMPEM Pahang, Dr Farah Wahida Ayob, berkata bantuan berkenaan merupakan antara usaha pihaknya menambah kemudahan serta kelengkapan yang diperlukan JBPM Pahang, khususnya dalam operasi pemadaman kebakaran di kawasan paya gambut.
Menurutnya, SMPEM sentiasa berusaha membantu meringankan beban pasukan bomba dengan menyediakan peralatan bersesuaian bagi menyokong operasi pemadaman kebakaran.
“SMPEM sebelum ini turut menyediakan bantuan peralatan pemadaman kebakaran untuk kegunaan pasukan bomba komuniti di Pekan.
“Antara aset yang disalurkan ialah tiga unit pam air, enam unit teropong (binokular) dan 30 set pakaian perlindungan diri (PPE), yang akan digunakan dalam usaha memadam kebakaran hutan paya gambut yang kerap berlaku di beberapa kawasan di Pekan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Majlis Penyerahan Pam Angkut di bawah Projek SMPEM itu disempurnakan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Harry Yong, kepada Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa.
Farah Wahida berkata, pihaknya akan terus berusaha menyediakan bantuan peralatan lain pada masa akan datang bagi menyokong operasi pemadaman kebakaran hutan paya gambut oleh JBPM.
Sementara itu, Mohd Razam berkata, SMPEM yang berada di bawah JPNP banyak membantu JBPM Pahang dalam menangani kebakaran hutan paya gambut di Pekan dan Rompin, termasuk melalui penyediaan peralatan pemadaman.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada JPNP yang sentiasa memberi sumbangan kepada JBPM Pahang dalam usaha menambah kelengkapan peralatan bagi menangani kebakaran hutan.
“JPNP antara agensi kerajaan yang tampil membantu JBPM Pahang dan usaha berkenaan seharusnya menjadi contoh kepada pihak lain,” katanya yang kini bersedia menghadapi musim tengkujuh.
IMedikel TV






