Home Buletin Semasa KERETAPI SARONG 2026 SATUKAN RAKYAT PELBAGAI KAUM DI PULAU PINANG

KERETAPI SARONG 2026 SATUKAN RAKYAT PELBAGAI KAUM DI PULAU PINANG

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Biarpun dalam keadaan berjerebu kira-kira 15,000 pengunjung tidak melepaskan peluang memeriahkan acara himpunan kebudayaan, Keretapi Sarong 2026 Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Malaysia.

Acara yang diadakan di Penang Ferry Museum itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin.

Soon Hin berkata, pelbagai budaya warisan ditonjolkan oleh pengunjung yang hadir dengan mengenakan busana tradisional berwarna-warni daripada pelbagai kaum di Malaysia.

“Kita berbangga dengan kehadiran rakyat yang terdiri daripada masyarakat tempatan serta dari Kedah, Perak dan Perlis tanpa mengira keturunan untuk bersama-sama meraikan Hari Malaysia.

“Lebih menarik apabila Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) turut menawarkan perkhidmatan feri percuma pada hari ini kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Ferry Museum, Abdul Hadi Abu Osman.

Pada acara berkenaan turut diadakan antaranya aktiviti kebudayaan, persembahan tarian dan nyanyian serta permainan tradisional masyarakat Malaysia seperti batu seremban, karom dan congkak.

Sementara itu, rata-rata pengunjung ditemui menyatakan kegembiraan mereka menghadiri program yang disifatkan sangat bermakna dalam menyatupadukan kaum di negara ini.

Bagi S Pugeness berkata, dia berasa rugi tidak mengikuti acara pada tahun lalu selepas mengetahui keseronokan program ini.

“Terharu saya dapat dapat bertemu pelbagai kaum dan berbual mesra dengan semua yang mengikuti acara ini yang saya tidak sangka semeriah ini,” katanya.

Nasrullah Mohd Redzuan pula berkata, dia berbangga dapat mengenakan busana suku temiar yang ia salah satu pakaian kaum orang asli di Semenanjung Malaysia.

“Pakaian etnik minoriti jarang diketengahkan dan ini adalah peluang untuk saya memperkenalkan kepada masyarakat.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita kena berbangga dengan kepelbagaian jenis pakaian etnik yang ada di negara kita,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here