KUALA LUMPUR: Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ingin memastikan penampilan di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou dari 17 hingga 21 Disember depan akan lebih baik berbanding sebelum ini.
Memetik laporan Harian Metro, jelas Aaron, dia dan Wooi Yik mempunyai misi sama iaitu tampil dengan prestasi terbaik dan cuba mendapatkan kemenangan dalam setiap perlawanan agar mampu melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu.
Katanya, itu adalah misi utama terlebih dahulu berbanding mengejar kejuaraan kerana sekiranya berjaya, ia akan menjadi pencapaian terbaik mereka.
“Saya rasa kalau cakap mengenai Jelajah Dunia Akhir, kita perlu capai kejayaan terbesar di sini juga.
“Sebelum ini, kita selalu sangkut di peringkat kumpulan. Sebab itu kita nak lepasi halangan ini dahulu dan bukan terus kejar kejuaraan.
“Kita perlu menyusun strategi dengan baik dan lakukan langkah demi langkah untuk capai sasaran ini,” katanya.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik sudah mengesahkan tempat ke Hangzhou dan ini adalah penampilan keenam mereka, tetapi lima kemunculan sebelum ini berakhir di peringkat kumpulan.
Tahun ini, mereka akan ditemani Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turut layak ke pentas itu.
Kedua-dua gandingan negara itu berpeluang meraih hadiah lumayan bernilai AS$3 juta (RM12.5 juta) keseluruhan yang sentiasa menjadi idaman pemain elit dunia.
Melihat kepada prestasi semasa, beregu nombor satu dunia itu dilihat mampu mencapai sasaran ditetapkan kerana musim ini, pasangan itu sudah merangkul tiga kejuaraan iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura selain tiga kali naib johan serta empat kali ke separuh akhir.
Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik akan membantu negara memburu pingat emas di Sukan Sea Thailand yang akan berlangsung 7 hingga 14 Disember, sebelum menyertai Jelajah Dunia Akhir. – HMetro Online –
IMedikel TV






