Home Sukan JDT III PERTAHAN KEJUARAAN PIALA PRESIDENT

JDT III PERTAHAN KEJUARAAN PIALA PRESIDENT

222
0

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta’zim III (JDT III) mempertahankan kejuaraan Piala Presiden dua musim berturut-turut apabila mengetepikan cabaran Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan kemenangan agregat 5-1 selepas menang 2-0 pada aksi final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini, sebentar tadi.

Pada aksi final pertama, skuad yang di bimbing Gonzalo Zaballos membawa bekalan selesa selepas menang 3-1 ke atas barisan pemain Azlan Ahmad dalam pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 24 September lalu.

Kemenangan skuad pelapis Harimau Selatan itu menambah lagi koleksi kejuaraan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas skuad senior mendakap Liga Super, Piala Sumbangsih dan Piala FA pada musim ini.

Memetik laporan menerusi berita harian,JDT III hampir mencipta gol seawal minit kelapan apabila larian pantas Ariff Safwan Mohd Safri di posisi sayap kanan pantas melorongkan bola tepat kepada Fergus Tierney yang sempat memusingkan badan sebelum merembat bola leret tapi penjaga gol NSFC, Silmi Othman berjaya menangkap kemas bola.

NSFC yang ketinggalan 1-3 dalam aksi final pertama, tampak memberi tekanan terhadap benteng JDT III malah berusaha untuk merapatkan jurang gol tapi bola sepakan percuma Danish Syamer Tajuddin pada minit ke-37 dari jarak 25 meter hanya sipi dari gawang gol.

Bersambung babak kedua, JDTI III mula menggandakan asakan dan hampir merungkai jaringan pada minit ke-50 selepas bola lorongan Fergus membuka ruang buat Muhammad Syukur Fariz Januri merembat bola kencang dari luar kotak penalti tapi hanya sedikit tersasar ketika Silmi sudah tertewas

Najmuddin Akmal Kamal terlepas peluang yang terhidang pada minti ke-53 selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid namun bola rembatan deras berjaya di halang Silmi yang beraksi konsisten bagi mengelak gawangnya dibolosi.

Selepas berusaha untuk memburu gol, akhirnya gol yang dicari menjelma buat JDT III pada minit ke-58 apabila bola lorongan Muhammad Syukur Fariz tepat kepada Fergus yang tidak dikawal sekadar melencong bola tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Silmi.

Malang buat JDT III yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-70 selepas Najmuddin Akmal dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning pada perlawanan itu.

Ketika aksi memasuki minit terakhir, JDT III dihadiahkan penalti selepas Amirul Farhan Asmadi mengasari pemain gantian Abd Rahman dan dia yang mengambil sepakan penalti memastikan kejuaraan Piala Presiden milik JDT III dua musim berturut-turut.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here