KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun menanti, pelakon Azhan Rani akhirnya menarik nafas lega apabila filem aksi ‘thriller’ lakonannya, Bisikan, bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula 19 November depan.
Memetik laporan Berita Harian, filem terbitan D Alpha Legacy yang turut menampilkan Vanidah Imran, Iman Zulkarnain dan Puteri Rayyana itu sebelum ini melalui beberapa proses suntingan selepas penggambaran selesai, termasuk bagi memasukkan kesan khas.
Azhan, 50, mengakui penantian panjang itu pernah membuatkan dirinya tertanya-tanya mengenai status filem berkenaan, apatah lagi dia sendiri sehingga kini belum berkesempatan menontonnya.
“Saya pun sampai tertanya-tanya juga bila filem ini akan keluar dan sama ada jadi atau tidak. Saya tak tahu maklum balas terhadap cerita ini macam mana.
“Kadang-kadang apabila berjumpa penerbit, dia cakap masih tunggu masa yang sesuai dan sebagainya. Akhirnya, sampailah sekarang.
“Setahu saya, selepas kami siapkan filem itu, ia menjalani beberapa proses suntingan untuk memasukkan kesan khas dan sebagainya. Akhirnya, sudah siap, cuma saya sendiri belum pernah tengok lagi cerita itu macam mana,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bagi mempromosikan Bisikan di Studio NSTP Balai Berita di sini, baru-baru ini.
Mengulas pembabitannya dalam filem berkenaan, Azhan berkata, Bisikan memberikan pengalaman berbeza memandangkan genre seram dan thriller bukanlah antara genre yang sering dibawakannya.
Menurutnya, dia juga bukan penggemar filem seram, namun bukan kerana takut, sebaliknya proses menghasilkan karya sedemikian lazimnya mengambil masa panjang terutama membabitkan penggunaan kesan khas.
“Saya jarang membawa genre seperti ini. Saya bukan peminat filem seram. Bukan sebab saya takut. Saya cuma tidak suka prosesnya yang lambat kerana hendak buat kesan khas dan sebagainya.
“Tetapi untuk filem ini, saya pun tidak banyak terbabit dalam bahagian yang seram dan sebagainya. Ada beberapa babak dalam bentuk ilusi sahaja.
“Saya lebih banyak terbabit dalam cerita kekeluargaan, cerita tentang keluarga,” katanya.
Azhan tidak mempunyai masalah untuk menjayakan watak pembantu, malah, menganggap dirinya perlu menerima hakikat bahawa tidak semua pelakon akan sentiasa berada di barisan hadapan.
Akuinya, faktor usia dan populariti sedikit sebanyak mempengaruhi peluang seseorang pelakon untuk diberikan watak utama.
“Saya tak ada masalah untuk menjayakan watak pembantu. Saya terima sahaja sebab kita tak mungkin sentiasa berada di depan. Salah satu mungkin faktor umur, selain faktor populariti.
“Saya bukan terus berada di barisan hadapan. Saya pun bukan terlalu menyinar sehingga menjadi satu nama yang berada dalam barisan popular itu. Saya okay, saya tenang macam itu.
“Kerja saya tidak sampai menjadikan saya kaya, jutawan macam ini, tetapi cukup… Alhamdulillah,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






