Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak tegas dengan menyita bangunan rumah burung walit yang dibina secara haram dalam Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera, baru-baru ini.
Turut disita pelbagai peralatan yang terdapat dalam bangunan berkenaan seperti pembesar suara, kamera litar tertutup dan enam unit bateri.
Dalam kenyataan dikeluarkan Unit Siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyatakan, bangunan rumah burung walit itu dikesan pada operasi bersepadu Hutan Simpan Kekal Tasek Bera yang turut disertai beberapa agensi penguat kuasa.
Perbuatan membina bangunan dalam hutan simpan kekal merupakan kesalahan yang menyalahi undang-undang dibawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Ketika serbuan dilakukan tidak ada kesan terdapat penjaga bangunan itu dan pihaknya terpaksa membuka pintu besi yang berkunci bagi tujuan pemeriksaan barangan yang ada dalam bangunan terbabit.
“Pemilik bangunan rumah burung walit terbabit diminta hadir ke Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Tingkat 2, Kompleks Tun Razak, Bandar Indera Mahkota, dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan untuk menuntut semula barang, pemilik perlu membawa dokumen yang berkaitan.
“Sekiranya tiada tuntutan dibuat dalam tempoh tersebut, bangunan dan barang yang disita akan dilucutkan hak mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 94(4), Akta Perhutanan Negara 1984, kata Unit Siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membina bangunan termasuk berada dalam Hutan Simpan Kekal.
Operasi bersepadu Hutan Simpan Kekal Tasek Bera selama sebulan bermula 14 September lalu diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7,
IMedikel TV






