Home Buletin Semasa JEREBU: TUNKU MAHKOTA ISMAIL TITAH SEKOLAH SELURUH JOHOR TUTUP DUA HARI

JEREBU: TUNKU MAHKOTA ISMAIL TITAH SEKOLAH SELURUH JOHOR TUTUP DUA HARI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar semua sekolah di Negeri Johor ditutup dua hari pada hari ini dan esok.

Titahnya ia susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang sedang berlaku di seluruh daerah negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, penutupan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid.

“Kerajaan Negeri memahami bahawa keputusan ini mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa serta penjaga yang masih perlu bekerja.

“Justeru itu, kerjasama dan pertimbangan para majikan amatlah dihargai untuk memberikan fleksibiliti yang bersesuaian kepada ibu bapa yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.

“Bagi sekolah yang terlibat dengan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran, pelaksanaannya akan ditangguhkan dan dijadualkan semula tertakluk kepada ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pihak berkaitan.

“Sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan. Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan IPU,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhammad Naqib berkata, keputusan ini mungkin menuntut sedikit penyesuaian daripada semua pihak, namun dalam keadaan semasa, keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor perlu menjadi keutamaan bersama.

Katanya menyeru ibu bapa dan penjaga supaya terus memantau keadaan kesihatan anak-anak dan mengurangkan aktiviti di luar rumah.

“Pastikan mereka minum air secukupnya serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.

“Semoga segala urusan dipermudahkan serta keadaan jerebu ini segera beransur pulih. Insya’allah, dengan kerjasama semua pihak, kita dapat sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan anak-anak Johor,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here