LONDON: Liverpool dilaporkan sudah menghubungi ejen Kylian Mbappe mengenai kemungkinan membawa penyerang Real Madrid itu ke Anfield pada musim 2027.
Menurut wartawan Sepanyol, Francois Gallardo, Liverpool sudah mengadakan perbincangan dengan ibu dan ejen Mbappe, Fayza Lamari dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Mbappe menyertai Real Madrid secara percuma pada musim panas 2024 selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).
Penyerang Perancis itu kini sudah meledak 94 gol selain menghasilkan 14 bantuan gol dalam 111 penampilan bersama gergasi Sepanyol berkenaan dalam semua pertandingan.
Bagaimanapun, walaupun memiliki rekod jaringan yang mengagumkan, Mbappe masih belum membantu Real Madrid menjuarai LaLiga atau Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh dua musim terakhir.
Malah, timbul persoalan mengenai keserasian Mbappe bersama Vinicius Junior dalam kesebelasan utama Real Madrid.
Mbappe yang membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 masih mempunyai kontrak bersama Real Madrid sehingga musim panas 2029.
Namun, Gallardo mendakwa Liverpool mahu mendapatkan pemain berusia 27 tahun itu pada 2027.
“Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris berminat dengan Kylian Mbappe, tetapi keutamaan pemain adalah Liverpool.
“Mereka sudah menghubungi Fayza Lamari dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Pemain itu tidak merasakan dirinya disayangi atau mendapat sokongan dalam bilik persalinan Real Madrid dan keadaan itu membuatkannya tidak selesa.
“Yuran perpindahan dianggarkan antara 200 juta hingga 250 juta euro,” katanya kepada sebuah portal berita di Sepanyol.
Jika Liverpool membayar Real Madrid 250 juta euro (RM1.23 bilion) untuk mendapatkan Mbappe, jumlah itu akan menjadikan dia sebagai pemain termahal dalam sejarah bola sepak.
Rekod perpindahan dunia ketika ini masih menjadi milik Neymar selepas pemain Brazil itu berpindah dari Barcelona ke PSG pada 2017 dengan nilai 222 juta euro (RM1.09 bilion).
Gallardo turut mendakwa Mbappe sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Real Madrid pada musim panas 2027 dan kelab itu tidak akan menghalangnya.
“Eksklusif dunia, Kylian Mbappe marah dan kecewa dengan Real Madrid. Dia sudah membuat keputusan untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas 2027 dan Real Madrid tidak akan menghalangnya. Destinasi seterusnya adalah Liga Perdana Inggeris,” tulisnya di akaun X.
Gallardo turut mendakwa Real Madrid sudah merancang untuk mendapatkan pemain Bayern Munich, Michael Olise sekiranya Mbappe meninggalkan kelab itu untuk menyertai Liverpool pada 2027. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






