Kuala Lumpur: Walaupun drama Madu Atau Racun dan Cela masih dalam proses penilaian, perkembangannya akan terus dimaklum kepada masyarakat dari semasa ke semasa sehingga selesai.
Memetik laporan Harian Metro, Ini berikutan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sentiasa mengambil maklum status dua drama yang disiarkan di platform over-the-top (OTT) itu apabila tayanganya ditarik balik untuk menjalani proses suntingan semula.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya menyedari kebimbangan masyarakat terhadap isu yang berlaku dan sudah melakukan tindakan segera selepas menerima aduan.
Menurutnya, kedua-dua drama berkenaan masih dalam proses penilaian panel Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti kandungan setiap episod sebelum dibenarkan tayangan semula.
“Kita ambil maklum dengan tegas isu ini untuk diselesaikan segera kerana memahami kebimbangan masyarakat, sekali gus berharap tidak berlaku lagi pada masa akan datang sekiranya mengikuti garis panduan ditetapkan.
“Kerjasama produksi, penerbit dan pengarah sangat penting kerana daripada karya-karya drama dihasilkan sudah tentu ada mesej ingin disampaikan, namun hendaklah tidak menyentuh sensitiviti agama dan keamanan.
“Memandangkan sekarang ini media sosial menjadi platform perkongsian apa sahaja isu secara terbuka, pihak produksi dan penerbit perlu teliti serta pastikan mengikut garis panduan sedia ada,” katanya.
Menurut Azmir, isu yang berlaku ini memberi ruang kepada orang ramai bagaimana membuat aduan kepada pihak berkaitan untuk tindakan segera.
“Bagaimanapun, panel penilai khas di bawah JAKIM ini adalah khusus untuk meneliti dua drama terbabit sahaja bagi menangani isu yang timbul hingga selesai kerana masyarakat nak tahu keputusannya.
“Harapan saya agar semuanya dapat diselesaikan dengan lancar kerana industri kreatif ini sangat memerlukan karya-karya berkualiti dihasil secara berterusan untuk tontonan,” katanya.
Pada 2 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menolak tayangan drama Madu atau Racun yang didakwa menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Susulan itu, platform penstriman terbabit bersetuju menurunkan sementara enam episod yang sudah disiarkan, manakala baki enam episod lagi ditangguh bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting dan dinilai semula.-HMetro Online-
IMedikel TV






