Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@Imedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan menegaskan strategi baharu membanteras dadah yang diperkenalkan di negeri ini bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada ketua balai untuk menangkap penagih, sebaliknya membabitkan tindakan menyeluruh di setiap peringkat pasukan narkotik.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, terdapat pihak yang salah faham apabila menganggap arahan kepada ketua balai untuk menangkap penagih adalah satu-satunya fokus dalam strategi berkenaan.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu sebenarnya membahagikan peranan mengikut fungsi masing-masing bagi memastikan keseluruhan rantaian pengedaran dadah dapat diputuskan.
“Itu masalahnya kalau baca tajuk sahaja.
“Ketua balai diberi tanggungjawab menangkap penagih kerana mereka sepatutnya mengetahui keadaan di kawasan pentadbiran masing-masing.
“Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah pula memberi tumpuan kepada tangkapan tokan dan pengedar kecil, manakala Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pula menyasarkan sindiket serta pengedar yang lebih besar.
“Dari kenyataan penagih kita boleh buat Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau hadir di Mesyuarat Permuafakatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, di Tunjong di sini hari ini.
Menurut beliau, JSJN turut diarahkan memperhebat tindakan mengikut peruntukan undang-undang termasuk melaksanakan siasatan dan pelupusan harta terhadap individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Mohd Yusoff berkata, pembahagian tugas itu membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan, bermula daripada penagih sehinggalah kepada dalang utama sindiket.
Beliau berkata, strategi berkenaan diperkenalkan selepas mengambil kira persepsi masyarakat yang masih melihat masalah penyalahgunaan dadah berlaku di beberapa kawasan.
“Memang kes menuruh namun orang masih bercakap.
“Maksudnya masyarakat masih bercakap ada penagih di sana sini.
“Sebab itu kita fikirkan satu strategi yang menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada satu pihak sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu lokap penuh, beliau memberi jaminan kapasiti lokap di seluruh negeri ini masih mencukupi dan tidak berdepan masalah kesesakan meskipun operasi membanteras penyalahgunaan dadah terus dipergiatkan.
“Setakat ini tiada isu masalah lokap penuh. Kalau ikut cukup tak cukup penjara lagi berat.
“Alhamdulillah, lokap di balai-balai polis masih mencukupi dan tidak sesak.
“Kalau nak ikut apa yang digazetkan sampai sudah tak selesai masalah,”katanya.
Media sebelum ini melaporkan Mohd Yusoff mengarahkan 56 ketua balai di seluruh negeri Kelantan menahan seorang penagih dadah setiap hari sebagai strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri ini.
IMedikel TV






