Home Buletin Semasa BELANJAWAN 2027: KUSKOP FOKUS SEDIA DANA BANTU PERTINGKAT PERNIAGAAN RAKYAT

BELANJAWAN 2027: KUSKOP FOKUS SEDIA DANA BANTU PERTINGKAT PERNIAGAAN RAKYAT

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berhasrat menyediakan peruntukan lebih besar menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu rakyat mengembangkan perniagaan mereka.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu menjadi antara fokus utama kementerian dalam usaha meringankan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi, selain mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, KUSKOP kini sedang mengumpulkan cadangan daripada syarikat, persatuan usahawan, PMKS dan koperasi dalam sesi libat urus yang dijangka berlangsung kira-kira dua bulan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sebagai input Belanjawan 2027.

“Fokus KUSKOP sekarang adalah menyediakan dana yang lebih banyak untuk menyokong perniagaan rakyat Malaysia.

“Selain itu, kita mahu kos menjalankan perniagaan dapat dikurangkan, di samping meningkatkan kecekapan khususnya dari aspek penyampaian perkhidmatan kerajaan dan produktiviti industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jualan MADANI KUSKOP @ Padang Lalang di Taman Makok, Bukit Mertajam, hari ini.

Hadir sama EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Gooi Zi Sen.

Pada program itu, sebanyak 80 jenis barangan keperluan dijual pada harga diskaun antara 20 hingga 30 peratus sebagai usaha KUSKOP membantu meringankan kos sara hidup rakyat, selain menyediakan platform perniagaan kepada koperasi.

Sementara itu, Steven Sim berkata, kementerian turut memberi tumpuan kepada dasar yang mampu meningkatkan produktiviti PMKS, di samping membantu perusahaan tempatan memperluaskan penyertaan dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, cadangan yang dikumpulkan akan disusun berpandukan kerangka ABCD yang merangkumi anjakan produktiviti, birokrasi dipermudahkan, capaian modal dan daya akses pasaran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here