Gaza: Pihak berkuasa di Gaza pada Sabtu mengesahkan penemuan 112 mayat di bawah runtuhan bangunan susulan serangan berterusan Israel.
Memetik laporan Harian Metro, Penemuan itu adalah sebahagian daripada operasi pencarian yang mencabar selepas serangan bertubi-tubi yang berterusan.
Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan anggotanya menemukan mayat serta bahagian anggota badan selepas menjalankan kerja penggalian selama 136 jam, dengan sebahagian besarnya menggunakan hanya tangan di Sabra, iaitu kejiranan di selatan Bandar Gaza.
Menurut agensi yang berperanan sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas itu, mangsa yang ditemukan terdiri daripada 40 kanak-kanak, 38 wanita dan tujuh individu kurang upaya fizikal.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengesahkan pihaknya membantu operasi pencarian yang berlangsung hampir dua minggu itu.
Jurucakap ICRC di Gaza, Amani Al-Naouq berkata, ribuan keluarga di Gaza terpaksa hidup dalam kesedihan dan ketidakpastian sambil menanti peluang menemukan jasad insan tersayang untuk disemadikan dengan penuh bermaruah.
“Pencarian orang hilang dan pemulihan mayat manusia ialah isu kemanusiaan yang amat penting,” katanya.
Sementara itu, pegawai bertanggungjawab di lokasi kejadian bagi Agensi Pertahanan Awam Gaza, Kolonel Mohammed Abu Dan berkata, pasukannya masih belum menemukan 157 lagi mayat yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan di kawasan berkenaan.
Beliau menyifatkan proses pencarian itu amat mencabar kerana anggota penyelamat terpaksa mengasingkan konkrit runtuh dan besi bengkok menggunakan tangan.
Sehingga kini, ribuan mayat masih belum ditemukan di Gaza dan kebanyakan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan akibat serangan udara besar-besaran Israel.
Sekatan terhadap agensi media serta akses terhad ke Gaza menyukarkan AFP mengesahkan jumlah korban secara bebas atau membuat liputan menyeluruh mengenai kemusnahan akibat konflik berkenaan.
Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan lebih 73,300 orang terbunuh dalam peperangan itu, angka yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).-HMetro Online-
IMedikel TV






