MIAMI: Pemain tengah Portugal, Vitinha berkata skuad Piala Dunia negara itu akan memakai gelang tangan khas bagi mengenang bekas rakan sepasukan, Diogo Jota, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol tahun lalu.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, gelang tangan itu adalah hadiah daripada Luis Montenegro dan memaparkan nama semua pemain skuad Portugal bersama nama Jota.
Jota yang pernah membuat 49 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 14 gol buat Portugal, meninggalkan kesan mendalam kepada rakan sepasukannya.
“Kisah gelang tangan ini bermula apabila kami bertemu Perdana Menteri dan beliau menghadiahkannya kepada kami.
“Mereka memastikan gelang ini boleh dipakai ketika perlawanan. Ia memenuhi semua syarat untuk kami turun ke padang dengannya, lengkap dengan nama semua pemain serta nama istimewa Diogo Jota.
“Beliau memberi kebebasan kepada kami sama ada mahu memakainya atau tidak, dan bagaimana kami mahu menggunakannya, sama ada sepanjang hari atau ketika perlawanan. Kami menerimanya dengan penuh penghargaan dan memilih untuk memakainya,” kata Vitinha.
Portugal akan memulakan kempen Kumpulan K menentang Republik Demokratik Congo awal pagi Khamis ini.
Vitinha yang memenangi dua gelaran berturut-turut Liga Juara-Juara (UCL) bersama Paris Saint-Germain tetap berhati-hati dalam menilai peluang Portugal pada Piala Dunia, empat tahun selepas terkandas di suku akhir di Qatar.
“Saya tidak akan mengatakan kami adalah pasukan pilihan. Kami memiliki kualiti dan kemampuan untuk pergi jauh dalam kejohanan ini.
“Kami tahu jalan terbaik adalah kekal merendah diri dan bermain dengan cara yang betul. Kami mempunyai bakat, cuma perlu memastikan aspek teknikal dan taktikal bergerak seiring,” katanya.
Menurutnya, format kejohanan yang berlangsung di tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada sememangnya memberi cabaran logistik, namun ia tidak boleh dijadikan alasan.
“Cuaca akan mempengaruhi cara kami bermain, tetapi perkara itu berlaku kepada semua pasukan, bukan hanya kami.
“Dengan perbezaan suhu di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, ia memang sukar. Tetapi ini adalah Piala Dunia dan tiada alasan atau keadaan yang boleh menghalang kami daripada memberikan segala-galanya untuk pasukan bola sepak kebangsaan,” katanya.
Bagi Vitinha, yang mengikuti jejak bapanya, Vitor Manuel, sebagai pemain tengah, menjulang trofi Piala Dunia kekal menjadi impian terbesar dalam kariernya.
“Ia sentiasa menjadi impian saya. Saya tidak pernah mahu melakukan perkara lain. Sampai satu tahap, saya sentiasa mengikuti apa yang dilakukan ayah saya.
“Inilah yang sentiasa saya mahu lakukan. Saya bermimpi mengenainya sejak kecil dan sudah mencapai banyak kejayaan besar. Kini saya mahu melengkapkannya dengan memenangi gelaran ini juga.”-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






